Terjun feri tak tahan perangai isteri


TERTEKAN dengan sikap isteri yang suka mengongkong selain masalah kewangan membuatkan seorang lelaki nekad terjun dari feri, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.22 malam itu, lelaki berusia 36 tahun berkenaan bagaimanapun dapat diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu pada mulanya menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Butterworth.
“Dia menaiki feri menuju ke Georgetown namun tidak turun dan berada di feri sama yang kemudian berpatah balik ke Butterworth.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan perairan Butterworth, lelaki itu terjun dari bahagian belakang tingkat atas feri terbabit,” katanya.
Noorzainy berkata, lelaki terbabit berjaya diselamatkan pasukan bantuan selepas kapten feri menghubungi menara kawalan memaklumkan kejadian itu.
“Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan bertindak demikian kerana tidak tahan dengan sikap isteri yang mengawalnya hingga mereka kerap bergaduh.
“Selain itu, dia juga mendakwa mengalami masalah kewangan kerana perniagaan dijalankannya agak merosot,” katanya.
Menurutnya, polis menghubungi adik perempuan mangsa yang kemudian membawa dan menemaninya ke HKB untuk mendapatkan rawatan.
“Lelaki terbabit kini stabil dan dia kemudian dirujuk kepada doktor psikologi untuk rawatan susulan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya.
Difahamkan, lelaki berkenaan sudah 10 tahun berkahwin dan mempunyai dua anak berusia lima dan lapan tahun.

Post a Comment

0 Comments