'Saya jual isi bukan kulit'


KEJUJURAN seorang pemuda berniaga durian tanpa kulit di bahu jalan di Batu 15 Jalan Sintok menjadikan gerainya sentiasa menjadi rebutan peminat raja buah itu.
Mohd Izzuwan Ismail, 30, berkata, dia memilih untuk menjual isi durian yang baik saja bagi memastikan pelanggan berpuas hati.
Katanya, dia mendapat idea berniaga dengan cara itu pada bulan lalu selepas beberapa kali membeli durian buruk.
“Jika saya sendiri pasti merasa marah apabila buka durian yang isinya buruk maka orang lain juga akan ada perasaan begitu juga. Tidak mustahil mungkin ada yang menyumpah seranah peniaga durian sebagai seorang yang tidak jujur.
“Jadi saya tak mahu perkara itu berlaku kepada saya dan adik-adik yang membantu saya berniaga di sini. Kami mahu pelanggan berpuas hati dan melakukan ‘akad’ jual beli dengan rasa senang hati,” katanya yang juga adalah anak kedua daripada lapan beradik.
Mohd Izzuwan yang bekerja sebagai mekanik motosikal berkata, setiap durian yang diisi dalam bekas akan dijual dengan harga RM25 sekilogram (kg) manakala sebiji durian pula akan dijual bermula dengan harga RM8 sekilogram hingga RM25 mengikut jenis.
Katanya, buah yang dijual terus kepada pelanggan akan dipastikan baik dan jika dia berasa was-was atau mendapati terdapat tanda buruk pada durian itu, dia akan terus membuka buah itu.
“Jika buah itu dari jenis udang merah sekalipun, saya akan buka kemudian saya akan campur dengan buah jenis lain dan tetap dijual dengan harga RM25 sekilogram.
“Setakat ini pelanggan banyak yang ulang beli di gerai saya belum ada yang datang merungut. Alhamdulillah walaupun berniaga di hujung kampung saya berjaya jual lebih 200 biji durian setiap hari,” katanya yang berasal dari Kampung Changkat Setoi, Changlun.
Bercerita lanjut, Mohd Izzuan berkata, sejak pelanggan tular mengenai cara jualan di gerainya semalam, duriannya habis dijual lebih awal hari ini iaitu pada jam 2 petang selepas mula berniaga pada 10 pagi.
“Selain menjual durian di gerai, saya turut menjual secara atas talian dan membuat penghantaran ke daerah lain termasuk ke Pulau Langkawi.
“Sebelum ini, saya dah hantar 20 bekas durian ke Pulau Langkawi, banyak lagi pesanan yang saya terima,” katanya.

Post a Comment

0 Comments