KUALA KUBU BHARU: Polis sedang menyiasat dari mana lelaki menyamar doktor yang ditahan di Klang pada Khamis lalu, kerana bagi tujuan melakukan gangguan seksual, memperoleh nombor telefon semua mangsanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata siasatan sedang dijalankan dan beliau tidak menolak kemungkinan polis akan memohon perintah untuk melanjutkan tempoh reman ke atas suspek yang juga pemandu lori itu.

“Kita akan dapatkan (keterangan) daripada mangsa-mangsa itu sekali... nombor telefon yang dia (suspek) gunakan.., jadi kita akan siasatlah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Hulu Selangor di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan di sini, hari ini.
Majlis itu menyaksikan Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman memangku jawatan itu berkuat kuasa hari ini, manakala Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sarawak dan memangku pangkat Asisten Komisioner berkuatkuasa 29 Julai ini.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek berusia 39 tahun yang berasal dari Terengganu itu ditahan pada jam 8.45 malam dan turut dirampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menghubungi mangsa.
Sebanyak tiga laporan polis diterima pihaknya sepanjang Jun lalu mengenai kegiatan lelaki berkenaan dan siasatan lanjut mendapati, 21 laporan berkaitan kes itu turut dibuat oleh mangsa yang berlainan di seluruh negara. - BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post