Ibu rayu sumbangan orang ramai biaya kos bedah bayi


KUANTAN - Seorang ibu merayu sumbangan orang ramai bagi membantu membiayai kos pembedahan sumbing bibir dan lelangit anaknya yang berusia setahun.

Muhammad Alif Nafis Amran juga mengalami sindrom Vacterl iaitu pelbagai kecacatan fizikal yang dialami satu dalam 4,000 kelahiran di dunia.

Malah, bayi itu turut berdepan dengan beberapa masalah kesihatan sejak lahir iaitu jantung berlubang, tulang belakang tidak sempurna, masalah buah pinggang, mempunyai satu paru-paru dan tulang tidak sempurna.

Ibunya, Nor Kintan Abdul Rahman, 39, berkata, sungguhpun dugaan seberat itu diberikan, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH.

Menurutnya, pihak hospital kerajaan dan Institut Jantung Negara (IJN) tidak boleh menjalankan pembedahan sumbing Muhammad Alif Nafis kerana berisiko tinggi.

“Doktor kata begitu kerana anak saya turut mengalami masalah jantung berlubang. Saya diberitahu pembedahan itu bahaya kerana bimbang anak tidak mampu bertahan.

“Tambahan pula mereka tidak mempunyai peralatan yang mencukupi bagi pembedahan sumbing ke atas Muhammad Alif Nafis," katanya ketika dihubungi hari ini.



Dia yang menetap di Felda Jengka 1 berkata, suaminya, Amran Tahir, 47, akan cuba pergi ke hospital swasta bagi membolehkan anaknya itu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, dia tidak pasti berapa kos yang diperlukan untuk pembedahan sumbing anak bongsu dari lima beradik itu.

“Ramai yang cakap kos mungkin tinggi, sebab itu saya memohon bantuan orang ramai supaya dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Nor Kintan yang merupakan suri rumah berharap ada pihak yang sudi memberi maklumat hospital swasta dan membolehkan pembedahan sumbing anaknya dilakukan segera.

“Saya harapkan selepas menjalani pembedahan ini, Muhammad Alif Nafis dapat bercakap dan makan macam kanak-kanak lain.

“Sekarang ini hanya boleh makan biskut dan minum susu sahaja,” katanya. Justeru orang ramai yang ingin membantu Muhammad Alif Nafis boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) (0630029000073905) atas nama Nor Kintan Abdul Rahman atau hubungi talian 010-5775818.

Post a Comment

0 Comments