DESAS-DESUS keretakan rumah tangga pelakon Fizo Omar dan isterinya Mawar, akhirnya terjawab apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, selaku defendan terhadap Mawar Abdul Karim, 30, sebagai plaintif melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan.


Permohonan cerai itu dibuat Mawar mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 5 Julai lalu.
Suasana mahkamah bertukar sedih apabila Fizo dan Mawar saling bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri.
Che Abdullah kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam Selangor dan sijil nikah dibatalkan.


Terdahulu, ketika prosiding, Che Abdulllah bertanya adakah Fizo bersetuju untuk menceraikan isterinya dan pelakon itu menjawab dia bersetuju kerana sudah tiada keserasian serta persefahaman antara mereka sejak beberapa tahun lalu.
Difahamkan, perceraian itu berpunca daripada masalah keluarga dan bukannya orang ketiga.
Pasangan itu yang bernikah pada November 2013 dikurniakan cahaya mata bernama Wan Maryam berusia dua tahun.


Media sebelum ini melaporkan Fizo dalam satu kenyataan memberitahu dia belum bersedia untuk memperincikan kemelut rumah tangga apabila isterinya dilapor sudah mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan perkara itu.


'Ini pengorbanan terbesar saya' - Mawar



“SAYA sayang sangat Fizo dan dia baik sebagai suami dan bapa kepada anak saya.”
Demikian pengakuan usahawan tudung terkenal, Mawar Abd Karim sambil menitiskan air mata ketika prosiding lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.
Menurut Mawar, dia sanggup mengorbankan kasih sayangnya demi kebahagiaan Fizo sekeluarga.
Dalam prosiding itu, pelakon Fizo Omar, 34, kemudian melafazkan cerai talak satu terhadap Mawar, 30, di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan.
Terdahulu, sebelum lafaz cerai, Fizo memohon maaf kepada ibu bapa Mawar yang hadir menyertai prosiding berkenaan.
Mawar ketika ditemui media selepas itu berkata, dia sedih dengan perceraian yang berlaku namun, menganggap itu pengorbanan terbesar dilakukan untuk kehidupannya dan Fizo sekeluarga.
“Apa yang berlaku bukanlah disebabkan ego ataupun harta. Mungkin ada hikmah untuk masa depan saya dan kami akan menjadi kawan baik demi membesarkan anak kami, Wan Maryam,” katanya.
Ditanya sama ada masih menyayangi Fizo, Mawar berkata, setiap wanita atau isteri pasti akan cuba sedaya-upaya menyelamatkan perkahwinan.
“Selama enam tahun tempoh perkahwinan ini, saya dan Fizo telah mencuba, namun saya reda serta pasrah. Mungkin sampai di sini sahaja untuk saya dan Fizo,” katanya yang memberitahu tidak akan memutuskan hubungan Fizo dan Maryam kerana anaknya masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang bapa.
Mawar turut menegaskan spekulasi mengaitkan perceraian itu dengan harta, ego dan pihak ketiga adalah tidak benar.
“Tiga benda ini bukanlah sebab perceraian kami. Fizo sangat baik dan dia adalah anak, abang dan adik yang bertanggungjawab kepada keluarganya,” katanya.
Sementara itu, Fizo memberitahu dia reda dengan perceraian itu.
“Cukup untuk saya katakan jodoh saya dan Mawar berakhir di sini. Pada saya, ini bukan pengakhiran tetapi satu permulaan kami menjadi ibu bapa bersama dalam menjalankan tanggungjawab untuk membesarkan Maryam.
“Saya masih sayang dan kasihkannya dan saya mengucapkan terima kasih kepada Mawar kerana menjadi isteri dan ibu kepada anak saya, malah banyak terhutang budi padanya.. dia sangat baik,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post