Dari Pengembala Kambing, Kini Pemegang Ijazah Kelas Pertama University of Essex, London



BERMULA sebagai pengembala kambing, tetapi kini bergelar graduan kelas pertama universiti di United Kingdom (UK).
Itulah perjalanan hidup Muhammad Afiq Ismail, 23, sebelum menamatkan pengajian jurusan Perakaunan dan Kewangan, University of Essex, London, semalam.


Anak jati Kampung Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan itu bukan sahaja menyebabkan ibu bapanya menitiskan air mata kegembiraan, malah mengharumkan nama kampung kerana kejayaan meraih kelas pertama.
Anak kedua daripada dua beradik itu menceritakan bagaimana dia menghabiskan masa di kebun sebaik tamat persekolahan atau ketika cuti.


BAJU BERBAU GETAH

“Ayah kerja sendiri dan sewaktu kecil, saya membantu ayah berniaga di kedai runcit. Kami ke pasar membeli ikan, sayur dan sebagainya untuk dijual.
“Malah, saya membantu ayah mengangkat getah untuk dijual. Habis baju berbau getah, namun sedikit tidak risau kerana semangat untuk membantu keluarga.




ADA ABANG OKU

“Hanya saya yang ada dan boleh membantu ayah kerana abang, Muhammad Isyraff, 26, pula orang kurang upaya (OKU). Dia lahir normal tapi selepas tiga tahun kakinya sakit.
“Doktor terpaksa bedah, namun ada kesan lain menyebabkan dia tidak boleh berjalan lama. Kakinya menjadi tidak kuat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kisah Muhammad Afiq ditularkan dalam Facebook (FB) rakan universitinya, Khairul Aiman Hamdan yang begitu bangga kerana berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara sekali pun bukan dari keluarga berada.

Antara status dimuat naik dalam FB ialah: 


“Dan seperti biasa, aku suka untuk tahu latar belakang serta kisah anak Malaysia yang belajar di luar negara. Semua orang ada kisah sendiri. Tambahan kisah-kisah inilah, yang buatkan hidup ini menarik. Ini mungkin cerita biasa bagi kalian, tapi bagi aku, kisah ini istimewa. Perlu aku kongsikan kisah anak muda ini dengan kalian.
“Afiq, budak Kuala Krai dari Kampung Batu Mengkebang adalah legenda hidup yang aku bertuah dapat kenali. Umum, mungkin kerana aku asal bandar, bila dimomok cerita anak kampung berjaya ke menara gading atau berjaya dalam hidup adalah satu cerita klise. Mungkin selama ini aku sendiri tak pernah jumpa, maka penyebab aku tak pandang sebelah mata.


“Dari tarik kelapa sawit, jaga kambing, hingga bawak lori, hari ini, anak itu pegang Ijazah paling berharga. Graduan kelas pertama, kursus Perakaunan dan Kewangan, University of Essex. Balasan buat ayah ibu. Aku tumpang bangga.”
Menurutnya, dia sentiasa berpegang teguh nasihat diberikan kedua ibu bapanya setiap kali melangkah ke universiti.
“Ayah pernah cakap, biar kita orang kampung asalkan berjaya. Tapi jangan lupa asal usul kita. Jangan lupa pengorbanan ibu ayah, orang kampung. Yang paling penting, jangan lupa Allah, solat jangan tinggal.
“Saya sentiasa percaya pada diri sendiri serta ibu bapa. Emak selalu puasa bila tahu saya hendak menduduki peperiksaan,” katanya.
Katanya, dia pernah bersekolah pondok sebelum memasuki sekolah swasta ketika di tingkatan 1.
“Selepas PMR (Penilaian Menengah Rendah), saya kena keluar sekolah itu, sebab keputusan saya tidak mencapai tahap minimum.
“Dari situlah saya mula belajar bersungguh-sungguh. Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian,” katanya.
Difahamkan, kebanyakan ternakan dijaganya sebelum ini sudah dijual kerana tidak sesiapa untuk menjaganya.

Sumber: Harian MetroKhairul Aiman Hamdan

Post a Comment

0 Comments