Cantik Berkilat, Meriah Dengan Buah. Ini Resepi Agar-agar Mixed Fruit Yang Simple & Sedap

Wah, nampak ceria sangat dan meriah dengan buah-buahan! Rasa terliur nak makan bila nampak puding atau agar-agar macam ni kan?
Inilah agar-agar cermin buah-buahan atau puding mixed fruit yang sangat mudah untuk anda cuba buat di rumah. Nak bawa untuk potluck atau jamuan pun sesuai sangat.
Jom kita tengok resepi yang dikongsikan oleh Puan Sya Qiela beserts tips beliau untuk jadikan agar-agar ni nampak cantik berkilat!

RESEPI PUDING BUAH CAMPURAN @ AGAR-AGAR CERMIN MIXED FRUIT

Mudah sangat nak buat agar-agar cermin atau puding buah-buahan ni.
Tapi saya buat agar-agar ni tak pakai sukatan tepat. Jadi yang nak cuba tu bolehlah agak-agak sendiri ya.
Ini senarai bahannya.

BAHAN-BAHAN

  • Agar-agar bertali
  • Air (+-)
  • Gula pasir (+-)
  • Gula batu
  • 1 tin longan
  • Buah strawberry (Belah dua)
  • Buah mangga (potong dadu)
  • Buah kiwi (potong bulat)
  • Biji selasih (rendam dengan air panas)
*Buah-buahan tu boleh pilih nak guna buah apa ikut kesesuaian. Lagi banyak lagi sedap.

CARA-CARA

1. MASAK AGAR-AGAR TALI

Mula-mula masak agar-agar dengan air sampai hancur.
Saya main agak-agak aja untuk sukatan air ni. Mungkin korang boleh rujuk pada paket untuk sukatan air dan gula.
*Kalau ikut tips dari internet, 25gm agar-agar tali menggunakan 2.5 liter air. Kalau 30g maksudnya 3 liter air.

2. SEDIAKAN BUAH-BUAHAN

Sementara tunggu agar-agar hancur, bolehlah sediakan buah-buahan mengikut citarasa.
Sambil tu basahkan dulu loyang atau acuan dengan sedikit air dan
ketepikan.

3. MASUKKAN GULA

Kemudian masukkan gula pasir dan gula batu.
Wajib masukkan sedikit gula batu untuk bagi agar-agar nampak berkilat.

4. MASUKKAN AIR LONGAN

Setelah agar-agar dan gula dah betul-betul hancur, masukkan pula air longan dari dalam tin tadi dan biarkan agar-agar betul-betul MENDIDIH barulah tutup api.
Saya campurkan sekali air longan ni untuk menaikkan lagi rasa agar-agar. Jadi tak adalah rasa kosong sangat agar-agar kita tu nanti ya.
Pastikan masak agar-agar hingga betul-betul mendidih supaya bila dah keras agar-agar tu tak cepat berair.

5. TABUR BUAH & BIJI SELASIH

Tuangkan dulu sedikit agar-agar tadi ke dalam loyang, kemudian taburkan biji selasih yang dah direndam beserta buah-buahan mengikut citarasa.
Biarkan sebentar selama 5 minit barulah masukkan lebihan agar-agar tadi.
Agar-agar mestilah masukkan ke dalam loyang / acuan masa masih panas tau. Ini penting untuk lembutkan buah. Barulah agar-agar akan jadi lembut, mudah dipotong dan tak hancur.

6. SEJUKKAN

Biarkan seketika sehingga wap hilang barulah masukkan ke dalam peti.

SEDIA UNTUK DIHIDANG

Dah siap, beginilah hasilnya. Memang sedap dimakan sejuk-sejuk. Tak sedar seloyang dah habis.
Rasanya manis-manis masam buah. Memang menyegarkan!
Selamat mencuba.
*Resepi puding buah ini dikongsikan oleh Puan Sya Qiela menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan resepi, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

Post a Comment

0 Comments