Bersara dengan Lamborghini, helikopter


DIJEMPUT menaiki Lamborghini sambil diiringi 40 motosikal berkuasa tinggi dan pulang ke rumah dengan helikopter jenis Bell 407 GX.
Kejutan mewah itu yang dirasai pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling, Zahara Ismail, 58, sempena persaraannya, hari ini.
Dia yang mesra dipanggil bonda diraikan warga sekolah yang mengadakan majlis persaraan khas untuknya kenang sepanjang hayat.
$ads={1}
Selepas tamat majlis, Zahara dibawa menaiki Lamborghini dari SMK Baling ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling (SMKAB) untuk menaiki helikopter dan pulang ke rumahnya di Kampung Batu Lima, Sik.
Helikopter itu milik rakan baiknya, Datuk Zuhri Abdullah yang juga rakan sekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar.
ZAHARA menaiki helikopter untuk pulang ke rumah di Sik. FOTO Shahrizal Md Noor.
Zahara berkata, dia sangat terharu dengan sambutan luar biasa itu yang disifatkan terlalu meriah dan mewah apabila berpeluang menaiki kereta mewah dan helikopter.
“Mereka (warga sekolah) sanggup bersusah payah mengatur semua persiapan untuk meraikan saya dengan cara yang tidak pernah dibayangkan ini,” katanya ketika ditemui.
$ads={2}
Menurutnya, selepas perjumpaan dengan rakan sekolahnya ketika belajar di KSAH, Zuhri ada mempelawanya untuk menaiki helikopter peribadi itu bagi meraikan hari persaraan.
“Mulanya saya segan tetapi dia beria-ia untuk meraikan rakan-rakan ketika di kolej dulu,” katanya yang 35 tahun bertugas sebagai guru di lima sekolah di Kedah.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pra-Universiti SMK Baling Abdul Bashir Che Senik berkata, jasa Zahara untuk pembangunan pendidikan amat tinggi.
“Beliau banyak mencatat kemajuan di sekolah tempatnya berkhidmat malah antara guru sangat dihormati dan disayangi pelajar,” katanya.
Seramai 950 pelajar, guru dan kakitangan meraikan hari perpisahan Zahara dan diakhiri dengan ‘kenduri kampung’ di rumahnya, hari ini.

Sumber: Harian Metro

Post a Comment