Bayi baru lahir ditemui dalam kotak bawah pokok



Seorang bayi lelaki ditemui dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di bawah pokok di Jalan Jelai, Alor Setar, pada pagi Selasa. 

Husaini Hassan, 40, sebelum itu ternampak kotak itu ketika melalui kawasan tersebut, namun tidak mengendahkannya kerana perlu pergi ke rumah jiran untuk meracun rumput. 

Namun, rasa tidak sedap hati dan ingin tahu membuatkan dia kembali ke lokasi untuk memeriksa kotak tersebut. 


Apabila kotak itu dibuka, dia tergamam mendengar suara tangisan bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusang dalam keadaan dibalut dengan selimut. 

Husaini panik dan terus membawa bayi itu ke sekolah berhampiran untuk meminta bantuan pengawal keselamatan sekolah. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan bayi lelaki itu pada jam 8.20 pagi. 


Polis mendapati bayi itu telah diberikan susu dan ditukarkan lampin oleh kakitangan sekolah yang kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans. 

Bayi itu kini ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan. 

Sumber: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments