Ainul pulang tak lama lagi


KELUARGA bayi perempuan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, akan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat.
Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata, dia dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, masing-masing 24, sedang membuat persiapan untuk pulang ke tanah air selepas lebih sebulan berada di United Kingdom (UK) demi rawatan permata hati, Ainul Mardhiah berusia 10 bulan itu.
“Kami sedang buat persiapan untuk pulang. Insya-Allah akan balik dalam masa terdekat dan berharap semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Ainul Mardhiah yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu, terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.
Pembedahan yang membabitkan perbelanjaan mencecah RM1juta itu, berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri.
Selain itu, doa rakyat Malaysia, kerajaan negeri Melaka, Jabatan Imigresen, dan syarikat penerbangan negara turut mengiringi usaha.

Post a Comment

0 Comments