[VIDEO] Viral Rosakkan Makanan di Family Mart, Lelaki Terbabit Diburu Polis


PERBUATAN seorang lelaki merosakkan barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di Nilai, membawa padah apabila video kejadian itu tular dan kini diburu polis.


Difahamkan, kejadian berlaku selepas lelaki terbabit bersama rakan masuk ke premis berkenaan lalu merosakkan beberapa plastik makanan dan minuman, kira-kira jam 10 malam tadi.
Malah, mereka turut merakam video perbuatan terbabit di Instagram Story sebelum tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, polis menerima laporan kejadian daripada pengurus premis pada jam 11.20 malam.
“Pengadu melihat video tular di media sosial yang didakwa berlaku di premisnya lalu membuat semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Pengadu mendapati lelaki terbabit merosakkan barang makanan dan minuman dengan sengaja menyebabkan beliau mengalami kerugian RM30,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bertindak atas laporan itu, Mohd Nor Marzukee berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

BACA : REMAJA ROSAKKAN MAKANAN SERAH DIRI
Video berdurasi satu minit 10 saat itu tular di media sosial yang menunjukkan lelaki itu sedang merosakkan barang makanan dan mendapat kecaman netizen.

Sementara itu, lelaki menggunakan nama ‘luqbubbles’ di Instagram mengaku sebagai individu yang melakukan perbuatan itu dan membuat permohonan maaf serta mendakwa akan membayar balik kerosakan yang dilakukan.

Post a comment

0 Comments