Terjatuh motosikal dipercayai tertidur



“KEJADIAN itu menjadi pengajaran berguna kepada saya dan diharap ibu bapa lain juga sentiasa mengawasi pergerakan anak mereka.
“Saya juga menyeru semua pihak berhenti menyebarkan dakwaan kononnya anak saya bermain basikal lajak,” kata Norsyahirah Mohd Fauzi, 24.
Semalam anaknya, Ahmad Rayyan Jailani, 5, cedera kepala, pipi dan tangan selepas terjatuh dari motosikal ditunggangi sepupunya di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, 6 petang.
Kejadian itu tular di media sosial menerusi satu klip video berdurasi 43 saat memaparkan Ahmad Rayyan yang berlumuran darah dan menahan kesakitan ditanya seorang lelaki mengenai nama kanak-kanak itu dan bapanya.
Ia tersebar bagi membolehkan ibu bapa kanak-kanak itu tampil untuk tindakan lanjut.
Norsyahirah berkata, kejadian itu hanya disedarinya selepas dimaklumkan jiran di rumah ibu mentuanya di kawasan sama, 6.15 petang.
“Sebelum kejadian, saya dapati Ahmad Rayyan tiada bersama ahli keluarga lain yang tidur di ruang tamu rumah.
“Saya tidak tahu dia keluar bersama sepupu lelakinya berusia 13 tahun dengan menaiki motosikal untuk menghantar lauk ke rumah datuk mereka di Flat Seri Perantau,” katanya.
Dia yang ditemani suami, Jailani Salleh, 28, ditemui Harian Metro di Wad Kanak-Kanak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) petang tadi.
Sementara itu, Jailani berkata, dia sekeluarga yang menetap di Kapar dimaklumkan anak saudaranya mahu ke kedai untuk membeli mercun selepas menghantar lauk itu.
“Apabila tiba di satu bonggol jalan di lokasi kejadian, Ahmad Rayyan terjatuh dipercayai tertidur.
“Anak saudara yang menunggang motosikal kemudian mahu mengangkatnya untuk dibawa pulang namun ditegah orang awam kerana kecederaan dialami agak serius.
“Tidak lama kemudian, ambulans tiba dan saya yang dimaklumkan mengenai kejadian bergegas ke hospital,” katanya.
Jailani berkata, dia bersyukur anaknya itu selamat dan kepalanya dijahit selepas keluar dari bilik bedah hospital 3 pagi tadi.
Dalam pada itu katanya, dia kesal dengan kenyataan pihak yang menyalahkan mereka kerana tidak menjaga Ahmad Rayyan dan mendakwa anaknya bermain basikal lajak ketika kejadian.
“Rayyan baru berusia lima tahun dan tidak tahu mengenai aktiviti basikal lajak seperti didakwa.
“Kami sentiasa memerhatikannya namun berikutan hari pertama Syawal dan ramai ahli keluarga di rumah ibu semalam, ia menyebabkan kami tidak perasan anak keluar,” katanya.

Post a Comment

0 Comments