Tak perlu tutup sekolah, pindah sahaja pelajar dari tingkat atas ke tingkat bawah. – Exco Johor.


JOHOR BARU 30 Jun: Kesemua 111 sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang akan tetap dibuka walaupun terdapat puluhan kes para pelajar mengalami sesak nafas, pening dan muntah-muntah pada pagi Ahad tadi, hanya selepas 3 jam sekolah dibuka.
Ahli Exco kerajaan Johor yang menjawat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar dipetik The Star sebagai  berkata kebanyakan pelajar yang mengalami simptom berkenaan adalah yang berada di tingkat atas.
“Kita akan pindahkan pelajar yang kelasnya di tingkat atas ke tingkat bawah kerana kebanyakan pelajar yang mengalami simptom-simpton adalah dari tingkat tiga dan tingkat empat. “ – Mohd Khuzzan Abu Bakar
Beliau yang juga merupakan adun PKR  Semerah itu turut berkata seramai 130 pelajar yang didapati mengalami gangguan kesihatan berkenaan hari ini, tetapi selepas saringan hanya 30 orang termasuk tiga orang guru dirujuk ke Klinik Kesihatan Masai dan Pasir Gudang.
Sesi persekolahan katanya akan berjalan seperti biasa dan menambah bahawa kualiti udara masih pada tahap normal.
“Hari ini sekolah tidak tutup dan sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa. Cuma dinasihatkan kepada pihak sekolah jika pelajar ada simptom berkenaan segera bawa ke klinik kesihatan.
“Untuk makluman, dari pagi tadi hasil pemeriksaan Pasir Gudang Mutual Aid (Pagema) juga menunjukkan bacaan kualiti udara masih berada pada tahap yang normal,”  – Mohd Khuzzan Abu Bakar
Sebanyak 111 buah sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang mula dibuka semula pada hari ini setelah ditutup semenjak Selasa lepas.
Namun baru beberapa jam sesi persekolahan, beberapa sekolah di kawasan yang sama didapati terjejas kembali.
Kelmarin, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berkata pihak Jabatan Alam Sekitar telah  mengesan kehadiran gas “methyl mercaptan” di Pasir Gudang, yang merupakan satu keganjilan.
“Daripada pemantauan bacaan gas yang dibuat ketika insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang baru-baru ini oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), hanya gas methyl mercaptan telah dikesan. Kehadiran gas ini adalah satu anomaly iaitu keadaan yang tidak normal di mana kehadiran gas methyl mercaptan dapat dikesan dalam udara ambien. Akibat persekitaran pembangunan di Pasir Gudang yang tepu, sebarang anomaly seperti ini akan memberi kesan kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma.” – MESTECC
Sementara itu, Bernama melaporkan sebarang usaha untuk menemu bual kakitangan dan guru terlibat tidak berjaya kerana mereka dilarang untuk memberi sebarang kenyataan.
– Sumber: Buletin TTKM-

Post a Comment

0 Comments