Sebu perut tanda awal kanser


Gangguan sistem penghadaman sering dikaitkan dengan perut tidak selesa atau sebu. Individu lazimnya mengalami kembung selain rasa tidak selesa. Keadaan menjadi lebih ketara dengan kesukaran membuang air besar hingga berlaku sembelit.
Walaupun senario ini nampak mudah, situasi sedemikian tidak boleh dibiarkan, individu dinasihat terus berjumpa doktor untuk pemeriksaan awal.
Pengerusi Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata pemeriksaan awal atau ujian saringan penting untuk mengenal pasti punca gangguan.
Beliau berkata, berkemungkinan masalah sudah berlarutan hingga membawa kepada keadaan lebih serius, banyak kes dilaporkan pesakit menjalani pemeriksaan sudah terlewat.
“Akhirnya pakar mengenal pasti gangguan ketidakhadaman itu disebabkan oleh kanser kolorektal sedangkan jika pemeriksaan awal dibuat pesakit boleh dirawat segera, sekali gus menyelamatkan nyawa.
“Sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019 pada 29 Mei, orang ramai digesa menjalani pemeriksaan awal atau ujian saringan bagi kanser kolorektal sebagai pencegahan awal,” katanya.
Kesan awal gejala
Dr Muhammad Radzi berkata, tema tahun ini adalah diagnosis dan rawatan awal bagi kanser gastrousus. Pemeriksaan awal atau ujian saringan adalah penting kerana boleh mengesan kanser terbabit pada tahap awal dan ini akan meningkatkan peluang melawan kanser.
DHM agensi yang disertai pakar berfungsi mendidik dan memperkasakan masyarakat menguruskan kesihatan penghadaman memandangkan penyakit sistem penghadaman ini berkait rapat dengan gaya hidup seseorang.
Program DHM bekerjasama menerusi Program Kesihatan Penghadaman VITAGEN (VHDP) bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan penjagaan usus yang baik.
“Kanser kolorektal paling tertinggi dalam kalangan lelaki dan kedua menyerang wanita. Data Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2018 menyatakan dua dalam setiap lima orang didiagnosis pada tahap akhir kanser, manakala seorang dalam setiap lima individu dikesan berada pada tahap awal serangan,” katanya.

PENGERUSI Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. - Foto Yazit Razali
Serangan awal tiada amaran
Pemeriksaan awal atau ujian saringan bagi kanser kolorektal adalah penting kerana tahap awal kanser biasanya tidak mempunyai sebarang gejala sehinggalah berada pada tahap kritikal.
Timbalan Pengerusi DHM, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata pemeriksaan awal atau ujian saringan tidak seharusnya ditangguh.
“Kanser kolorektal di negara kita sudah berada pada tahap tinggi dan sewajarnya menjadikan ujian saringan untuk kanser kolorektal sebagai agenda nasional.
“Semua pihak berkepentingan mestilah memainkan peranan masing-masing dalam program ujian saringan kanser kolorektal pada peringkat nasional. Bagi mereka yang mempunyai risiko rendah, sederhana dan tinggi mesti menjalani ujian saringan kanser kolorektal seberapa segera. Luangkan masa untuk melakukannya dan jangan bertangguh,” katanya.
Pakar DHM, Dr Tee E Siong, berkata gaya hidup sihat perlu diamalkan bagi mencegah penyakit usus. Gaya hidup sihat mengurangkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti kanser.
“Mulakan dengan yang asas, seperti makan secara sihat dan memastikan badan anda mendapatkan nutrien diperlukan dalam jumlah bersesuaian. Tingkat kekerapan aktiviti fizikal dan senaman setiap hari selain tidur mencukupi,” katanya.
Info
Golongan berisiko tinggi kanser kolorektal:
* Keluarga terdekat ada polip kolorektal atau kanser kolorektal.
* Menghidap penyakit radang usus seperti 'ulcerative colitis' dan 'Crohn's disease'
* Ada sindrom genetik berkaitan kanser seperti 'familial adenomatous polyposis (FAP)' atau 'hereditary nonpolyposis colorectal cancer'
Ujian saringan kanser kolorektal
* Boleh dijalankan seawal umur 50 tahun hingga 75 tahun.
* Individu berisiko tinggi mendapat kanser kolorektal, ujian saringan perlu dilakukan lebih awal.
* Berbincang dengan doktor untuk jalani ujian
* Tentukan jenis ujian dan berapa kerap ujian dilakukan.
* Ujian dijalankan termasuk ujian najis (FOBT), sigmoidoskopi dan kolonoskopi.

Post a Comment

0 Comments