Pelajar dikurung dalam reban ayam bakal ke luar negara


KUALA TERENGGANU – Seorang penerima biasiswa Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) 2019 yang bakal melanjutkan pengajian ke United Kingdom berkongsi pengalamannya yang rela dikurung dalam reban ayam gara-gara malas ke sekolah, 11 tahun lalu.
Tengku Muhammad Ashraf Tengku Mamat, 18, berkata, walaupun cuma lima minit, namun hukuman yang dikenakan ayahnya, Tengku Mamat Tengku Ngah, 67, ketika dia baharu memulakan alam persekolahan tahun satu itu ternyata memberi pengajaran besar apabila dia mulai rajin ke sekolah, bahkan turut menyuntik motivasi untuk cemerlang dalam pelajaran hingga mampu meraih keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.
Anak bongsu kepada pasangan buruh dan suri rumah dari Kampung Nerang Jerangau di Dungun itu merupakan antara 40 pelajar cemerlang lepasan SPM 2018 negeri ini yang terpilih melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di United Kingdom dalam bidang kejuruteraan mekanikal dengan bakal mengikuti program peringkat A Level di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, Selangor terlebih dahulu.
“Kejadian itu berlaku semasa saya memasuki tahun satu, alasan saya tidak mahu ke sekolah kerana tak nak berenggang dengan ibu bapa.

“Ayah kurung saya dalam reban ayam kira-kira lima minit dan pada masa itu saya berazam untuk jadi murid yang rajin ke sekolah hingga kini,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah ini ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyampaian Anugerah PESP 2019 di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dekat sini hari ini.
Sementara itu, bapanya, Tengku Mamat berkata, penajaan pendidikan terhadap anaknya itu memberi makna besar buat mereka sekeluarga sekali gus berterima kasih atas komitmen berterusan Petronas dalam membantu pelajar cemerlang.
Seorang lagi penerima biasiswa PESP itu, Nor Nadirah Mohd. Nor, 18, dari Kampung Merang di Setiu tidak akan mensia-siakan peluang menuntut di Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi mencapai cita-citanya bergelar jurutera petroleum di masa depan.
Lahir dalam keluarga nelayan, anak bongsu daripada empat beradik itu juga berhasrat untuk mengubah nasib keluarga di samping membalas jasa dan pengorban kedua ibu bapanya yang bersusah-payah mencari rezeki selama ini. – UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments