Bersahabat hingga akhir hayat


KOTA BHARU - Tiga mangsa kemalangan maut di Kilometer 6.5 Jalan Gerik - Kupang, Gerik, Perak petang semalam ialah rakan karib sejak zaman persekolahan.

Muhamad Syahidi Ahamad Kamil, 24 dan rakan sebayanya Khairul Amirin Tengku Kamarudin dan Mohamad Shazlimie Mohd Rosli bukan sahaja kerap meluangkan masa bercuti bersama-sama malah membawa hubungan persahabatan itu sampai ke akhir hayat.

Tiga sahabat itu meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi rakan mereka, Mohd Shahrin Rasid, 22, dari Berek 12, Kota Bharu cedera parah di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Gerik, Perak.

Abang Muhamad Syahidi, Muhamad Syafik, 28, berkata, adiknya itu adalah penuntut tahun dua Diploma Sains Geomatik di Politeknik Merlimau Melaka dan sedang cuti semester.

"Ketika kejadian Muhamad Syahidi dalam perjalanan pulang ke rumah kami di Taman Tanjong Chat, Kota Bharu selepas keluar dari rumah pada Sabtu lalu.

"Dia ke Arau, Perlis untuk mengambil kereta Produa MyVi miliknya daripada adik bongsu dan kemudian bercuti ke Pulau Pinang bersama rakan-rakan," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Tanjung Chat di sini hari ini.

Muhamad Syafik menunjukkan gambar mereka sekeluarga bersama Muhamad Syahidi (tiga kanan) yang menjadi kenangan ketika menyambut Syawal bersama-sama baru-baru ini.
Muhamad Syafik menunjukkan gambar mereka sekeluarga bersama Muhamad Syahidi (tiga kanan) yang menjadi kenangan ketika menyambut Syawal bersama-sama baru-baru ini.
Muhamad Syafik menunjukkan gambar mereka sekeluarga bersama Muhamad Syahidi (tiga kanan) yang menjadi kenangan ketika menyambut Syawal bersama-sama baru-baru ini.

Menurutnya, adiknya itu sangat rapat dengan Khairul Amirin dan Mohamad Shazlimie kerana bersekolah bersama-sama di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putera.

“Kemana-mana saja mereka selalu bersama dan bercuti pun bersama-sama selain pernah memakai baju melayu sedondon berwarna kuning pada majlis perkahwinan rakan yang lain,” katanya.
Jenazah ketiga-tiga mangsa tiba di Kota Bharu kira-kira jam 2 petang semalam dan Muhamad Syahidi dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Chat.

Allahyarham Khairul Amirin dibawa pulang ke Kebun Sultan manakala Allahyarham Mohamad Shazlimie pula Kampung Sungai Keladi.

Muhamad Syafik berkata, anak kelima daripada enam beradik itu seorang ringan tulang dan berperwatakan ceria dalam keluarga serta pernah bergurau bahawa dia seorang sahaja dalam keluarga tidak pernah terlibat kemalangan.

“Dia anak yang sangat baik dan kereta Perodua MyVi yang dipandunya itu sebelum ini diberi pinjam kepada adik bongsu kami dan dia pergi mengambilnya untuk dibawa balik belajar di Melaka selepas habis cuti semester ini.

“Kami bersedih atas permergian mengejut arwah dan masih tergamam menerima berita ini terutama ibu dan bapa yang bergegas ke Gerik sebaik dihubungi polis memaklumkannya pada jam 6 petang semalam tetapi tetap reda,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporan tiga pemuda maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah bas persiaran di Jalan Gerik-Baling, petang semalam.

Maklumat kemalangan diterima polis pada jam 3.20 petang.

Difahamkan, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang melalui Baling menuju ke Kota Bharu, Kelantan, manakala bas persiaran dari arah Gerik menuju ke Pulau Pinang.

Pemandu bas berusia 46 tahun yang berasal dari Padang Serai, Kedah bersama sembilan penumpang dari Kelantan ke Pulau Pinang yang menaiki bas itu tidak cedera.

Post a comment

0 Comments