Zionis terus sembelih penduduk Palestin di awal Ramadan

ASAP tebal kelihatan selepas Israel melancarkan serangan di Bandar Gaza. - Foto Reuters
GAZA: Seramai tujuh penduduk Palestin terkorban akibat serangan Israel, hari ini, ketika sambutan awal bulan puasa Ramadan, sementara serangan roket dari Gaza turut mengorbankan tiga orang di Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya sudah mengarahkan serangan besar-besaran terhadap kumpulan Hamas dan Jihad Islamiah dalam pertempuran merentas sempadan terburuk, sejak keganasan pada November lalu.
Di Gaza, sekurang-kurangnya tujuh penduduk terbunuh akibat serangan Israel, menurut pegawai kesihatan. Turut terkorban adalah seorang komander Hamas, Hamed Ahmed Al-Khodary.
Bagi penduduk di Gaza, lonjakan kekejaman itu berlaku sehari sebelum bulan suci Ramadan. Secara tradisinya, waktu ini mereka beribadat, makan bersama keluarga atau membeli-belah barangan keperluan.
Sejak Jumaat lalu, 13 penduduk Palestin terkorban termasuk seorang bayi berusia 14 bulan dan ibu saudara bayi itu dalam serangan udara, menurut kementerian kesihatan. - Reuters

Post a comment

0 Comments