Tuak kurma dapat sambutan tinggi ketika Ramadan

Air nira kelapa yang telah diproses dan disimpan di dalam peti ais memberikan kesegaran kepada pemin
Air nira kelapa yang telah diproses dan disimpan di dalam peti ais memberikan kesegaran kepada peminumnya.
KOTA BHARU - Seorang peniaga, Mohd. Zin Mohamed, 59, dari Kampung Teras, Binjai di sini tidak menyangka perusahaan air nira dari batang pokok kurma yang ditanamnya mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat. 
Mohd. Zin atau mesra dengan panggilan Haji Zin berkata, permintaan itu semakin meningkat setiap kali tibanya bulan Ramadan apabila telefon bimbitnya tidak berhenti berdering kerana dihubungi oleh kenalan serta orang ramai.
“Dahulu saya hanya buat suka-suka untuk hobi sejak dua tahun lalu namun apabila mendapat permintaan menggalakkan saya memperbaiki kaedah untuk mendapatkan air nira ini dari batang pokok palma tersebut.
“Malah saya juga turut berjaya menghasilkan cuka kurma daripada nira tersebut. Ini berbeza dengan cuka buah kurma yang menggunakan buahnya untuk mendapatkan cukanya. Rasanya berbeza sedikit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dia yang telah menceburi bidang pertanian hampir 20 tahun lalu itu berkata, sebatang pokok kurmanya yang agak besar mampu mengeluarkan air nira antara tiga hingga empat liter sehari.
“Saya menyimpan airnya di dalam botol 250 mililiter (ml) dengan harga jualan antara RM15 hingga RM20 sebotol. Rasanya yang manis akan menambat selera peminumnya.
“Selain itu, saya percaya ia banyak memberi manfaat lain terhadap peminumnya. Kini saya mempunyai kira-kira 200 batang pokok kurma di atas beberapa bidang tanah yang disewa,” katanya.
Di negara ini, selalunya nira ini didapati dari mayang kelapa atau mayang enau yang disadap untuk dibuat gula atau airnya yang manis berlemak.
Di negeri ini, air nira tersebut turut dipanggil ‘tuak’ dan dijadikan minuman dan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai. - K! ONLINE 

Post a comment

0 Comments