Nahas 6 maut: Hasrat lima sekeluarga sambut Ramadan tidak kesampaian

MAUT


TUMPAT - Hasrat lima sekeluarga membuat kejutan kepada keluarga di kampung untuk menyambut Ramadan yang dijangka Isnin ini, tidak kesampaian selepas dua daripada mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Simpang Sungai Ruan, Raub, Pahang awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Hasliza Arini Muhamad@Hamid, 34, yang berasal dari Kampung Kelaboran di sini, dan anak bongsunya, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril yang berumur dua tahun.
Turut maut ialah Nasrul Fakhri Mansor, 38, dari Taman Aman Perdana, Klang, Selangor dan dua anggota keluarganya iaitu seorang wanita dewasa dan bayi berusia sekitar setahun, yang masih belum dapat dikenal pasti identiti mereka selain tiga lagi parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.
Sapinah Hussin, 67, ibu kepada Hasliza Arini berkata, berita kemalangan yang menimpa anak kelima daripada sembilan beradik itu dimaklumkan anak bongsunya, Hazwani, 28, menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 11.30 pagi.
Sapinah berkata, Hasliza Arini yang sedang hamil lima bulan berhasrat pulang ke kampung halaman untuk membuat kejutan sempena Ramadan.
"Mak cik tak tahu pun mengenai kepulangan mereka dan kali terakhir mak cik bercakap dengan arwah melalui panggilan telefon kira-kira pukul 4 petang semalam tapi bercakap tak lama sebab arwah sedang bekerja. Arwah pun tak bagitahu mereka nak pulang ke kampung.
"Arwah bekerja sebagai akauntan dan mahu pulang ke kampung kerana nak sambut puasa dengan keluarga kerana dia tidak tahu dapat pulang sambut Aidilfitri atau pun tidak pada tahun ini kerana suaminya bekerja," katanya ketika ditemui di Kampung Kelaboran di sini, hari ini.
Beliau berkata, jenazah anak perempuan dan cucunya itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran malam ini.
Sementara itu, Hazwani yang tinggal Klang, Selangor berkata beliau sangat rapat dengan arwah kakaknya itu kerana mereka tinggal berdekatan dan sering pulang ke kampung bersama-sama.
maut
"Malam tadi, saya naik bas pukul 8 malam dan kakak bersama keluarga bergerak dari rumahnya di Klang pada pukul 9 malam kerana mereka mahu berhenti di rumah ibu mentuanya di Dabong, Kuala Krai.
"Kami tidak memberitahu ibu kerana mahu membuat kejutan untuk sambut Ramadan memandangkan kakak tidak tahu sama ada dapat pulang atau tidak hari raya nanti," katanya. - Bernama


Post a comment

0 Comments