Kerabu sarang pengikat selera



SETIAP kali Ramadan, makanan eksotik kerabu sarang menjadi pilihan masyarakat negeri ini untuk dijadikan juadah berbuka atau bersahur.
Kerabu sarang dihasilkan menggunakan rumpai laut yang dibersih dan dikeringkan sebelum dimakan bersama campuran kelapa goreng dan isi ikan serta kuah yang ditumis.
Gabungan rasa masam, manis dan sedikit pedas apabila digaul sebati menjadi pengikat selera penggemarnya untuk dimakan dengan nasi.
Pengusahanya, Zulkifli Abdul Rahman, 53, berkata, penyediaan kerabu sarang agak rumit kerana mengambil masa yang lama, selain perlu menitik beratkan soal kebersihan dan bebas daripada bahan pengawet.
Katanya, rumpai laut perlu dicuci dan dikeringkan secara berulang kali dan mengambil masa sehingga tiga atau empat jam untuk memastikan ia bersih untuk dimakan.
“Bekalan rumpai laut diperoleh dari Thailand atau Sabah sebelum diproses sendiri dengan penuh teliti supaya kerabu yang dihasilkan bersih, tidak berbau dan tahan lama.
“Kerabu sarang dijadikan lauk sampingan yang boleh dimakan bersama nasi atau diratah begitu sahaja dan permintaannya meningkat dua kali ganda ketika Ramadan.
“Bermula hari ini, saya menyiapkan hampir 12 kilogram kerabu sarang bagi memenuhi permintaan pelanggan yang bukan sahaja dari Kelantan, malah negeri lain seperti Perak, Pahang dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu.
Setiap kali Ramadan, Zulkifli yang dibantu isteri, Izran Arifin, 48, menyiapkan sehingga 150 bekas kerabu sarang yang dijual pada harga RM2 sehingga RM10 sebekas bergantung kepada permintaan pelanggan.
Bapa kepada enam anak berusia antara 11 hingga 22 tahun berkata, sudah tujuh tahun mengusahakan kerabu sarang menggunakan resipi turun temurun ibu bapanya.
“Kerabu sarang yang saya hasilkan boleh bertahan sehingga tiga hingga empat hari jika disimpan di dalam peti ais.
“Penggemar kerabu ini datang daripada pelbagai peringkat umur bukan sahaja dewasa malah golongan kanak-kanak,” katanya.

Post a comment

0 Comments