Jalan TAR dibuka semula kepada pengguna jalan raya Sabtu ini

MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (berdiri, kiri) beramah mesra bersama warga kerja dan

PUTRAJAYA 8 Mei - Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur akan dibuka semula pada Sabtu ini kepada pengguna jalan raya sempena sambutan Syawal.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pembukaan sementara sehingga Julai ini dibuat bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membeli-belah di kawasan berkenaan.
“Setelah berbincang dengan Persatuan Penjual Batu Road dan Persatuan Perniagaan Masjid India, mereka memberi maklum balas positif.
“Oleh kerana ini bulan puasa, mereka menjangkakan jualan akan meningkat, jadi mereka mohon supaya jalan tersebut dibuka pada hari minggu untuk orang ramai membeli- belah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup Jalan TAR pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April bagi menjadikannya sebagai kawasan pejalan kaki bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Khalid berkata, keputusan itu juga membolehkan pihaknya mencari alternatif lain bagi memindahkan perniagaan di Lorong Gombak dan Lorong TAR ke satu lokasi lain yang lebih bersesuaian.
Sementara itu mengenai bazar Ramadan Jalan Raja yang dilaporkan lengang, Khalid yakin jualan di tapak baharu itu akan meningkat menjelang Syawal.
“Kebiasaannya jualan akan meningkat pada minggu kedua Ramadan dan hujung minggu, jadi kita tunggu dan lihat.
“Kita tidak mahu ada laporan negatif mengenai tapak baharu itu kerana bukan mudah mahu mempromosikannya berikutan pengunjung sudah terbiasa di tapak lama,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Post a comment

0 Comments