Ingatkan gas bocor, rupanya...



CANBERRA: Selepas sebuah universiti di Melbourne, Australia, gempar dengan bau durian tahun lalu, bau raja buah itu sekali lagi mengundang kekecohan apabila ratusan orang diarah keluar dari perpustakaan di Canberra kerana disangka berlaku kebocoran gas.
Kejadian berlaku Jumaat lalu di Universiti Canberra apabila bau durian mencetuskan suasana panik menyebabkan anggota bomba dipanggil untuk menyiasat selepas menerima laporan mengatakan berlaku kebocoran gas pada jam 2.30 petang waktu tempatan.
Seramai 550 orang yang berada dalam perpustakaan diarah mengosongkan bangunan dalam tempoh enam minit bagi membolehkan bomba menyiasat dengan bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).
“Kejadian cemas yang disangka akibat kebocoran gas itu sebenarnya bau durian. Kulit buah itu ditemui dalam satu tong sampah dan sudah dikeluarkan,” kata pengurusan perpustakaan itu menerusi hantaran di Facebook.
Tahun lalu, kejadian sama dilaporkan berlaku di perpustakaan kampus Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) menyebabkan 500 pelajar dan pensyarah terpaksa mengosongkan bangunan.

Post a comment

0 Comments