Dulu mama sedia semua



REMBAU: Ramadan ini tidak lagi seceria dulu bagi enam beradik ini. Sebelum ini, walaupun hidup dalam keadaan serba sederhana, mama mereka sentiasa ada di sisi untuk menyediakan segala keperluan.
Bagaimanapun, pada 25 April lalu, ibu mereka, Nor Amira Sahran, 35, dijemput Ilahi selepas motosikal ditunggang bertembung dengan haiwan di hadapan Ladang Sungai Baru, Kampung Simen di sini, jam 6.30 petang.
Hanya tangisan mengiringi jenazah arwah ibu enam beradik ini, Mohd Aiman Syazrizal, setahun enam bulan, Nor Aina Syazliana, 5, Nor Aina Syazlin, 7, Nor Aina Syazlina, 9, Nor Aina Syazwani, 10, dan Aiman Syazwan Mohd Fouzi, 12.
“Sejak mama meninggal dunia, apa yang saya mampu lakukan ialah menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah kepadanya pada setiap hari.
“Saya juga berdoa supaya arwah mama ditempatkan di syurga,” katanya ditemui di rumah bapa saudaranya di Kampung Legong, Ulu Kota di sini, semalam.
Sebagai anak sulung, Aiman Syazwan berkata, dia akan berusaha menjaga lima adiknya seperti yang kerap dipesan arwah ibu.
Katanya, rutin harian mereka enam beradik turut berubah selepas pemergian ibu.
“Mama bangun jam 3 pagi setiap hari untuk masak nasi lemak, pada jam 5 pagi, mama kejut saya. Kemudian, saya bantu mama mengacau sambal selain mengelap daun pisang.
“Selepas itu, saya bersiap ke sekolah bersama adik. Pada sebelah petang, mama jemput dari sekolah sebelum ke kelas tuisyen,” katanya.
Menurut Aiman Syazwan, kali terakhir dia bertemu ibunya pada pagi hari kejadian ketika arwah menghantarnya dan Nor Aina ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, Lubok China.
“Mama selalu mengadu sakit kepala dan penat sangat. Mama juga minta bantuan saya menjaga adik.
“Apabila mama berehat, saya jaga adik bongsu, manakala Nor Aina bantu kemas rumah. Saya juga boleh buat air, masak nasi, goreng telur untuk adik makan,” katanya.
Menurut Aiman Syazwan, kini semua itu hanya kenangan dan dia akan berpegang kepada janjinya kepada arwah ibu untuk menjaga adik serta menjadi insan berguna.
“Ramadan kali ini pasti amat memilukan, namun saya perlu terus kuat demi adik,” katanya.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nor Aina Syazwani Mohd Fouzi di 0511 7411 0000 6833.
Sementara itu, kakak arwah Nor Amira, Nor Azila, 38, berkata, arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap melainkan tiba-tiba menjadi pendiam.
“Arwah bukan pendiam, tetapi mungkin kerana tekanan, dia mendiamkan diri. Dia juga tidak meluahkan masalahnya kepada saya.
“Sebelum ini, saya bantu arwah apa yang boleh seperti menjaga anaknya setiap hujung minggu ketika dia bekerja sambilan, malah anak bongsunya juga adalah anak susuan saya.
“Selepas pemergian arwah sementara menunggu suami arwah dibebaskan dari penjara, saya dan ahli keluarga lain akan menjaga keenam-enam anaknya sebaik mungkin,” katanya.
Suri rumah itu bersyukur kerana anak arwah tahu yang ibu mereka sudah tiada, malah tidak lagi menangis dengan keterlaluan sejak kejadian.
“Alhamdulillah, anak arwah tidak lagi mencari-cari mama mereka kerana mereka turut sama menyaksikan ibu mereka dimandikan, disolatkan hingga dikebumikan.
“Lagipun mereka sudah biasa dengan saya dan biasa berdikari apabila mama mereka keluar bekerja setiap hari,” katanya yang memiliki empat anak berusia dua tahun hingga 18 tahun.

Post a comment

0 Comments