Cermin Gelap Sukarnya Risiko Menyelamat Jika Kemalangan – Penganalisis



Pada 8 Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah mengumumkan tiada lagi had penetapan untuk cermin belakang kereta dan penumpang. Peraturan terbaharu itu ternyata tidak mendapat persetujuan pelbagai pihak termasuklah pihak polis.
Terbaharu, penganalisis jenayah dan keselamatan, Kamal Affendi Hashim juga telah tampil mengulas isu penggunaan cermin gelap yang boleh menyukarkan pihak penyelamat untuk menyelamatkan mangsa yang terbabit kemalangan.

Cermin sukar dipecahkan

Menerusi laporan Astro Awani, penggunaan cermin gelap akan menyebabkan cermin kereta menjadi lebih tebal sekaligus menyukarkan cermin tersebut dipecahkan ketika berlakunya kemalangan.
Dengan penggunaan cermin gelap, ia adalah amat sukar untuk pihak penyelamat menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan kerana ketebalan itu akan memberi kesan kepada keanjalan dan kekuatan permukaan cermin.
Apabila lapisan filem dilekatkan, sudah tentu cermin menjadi lebih tebal dan peralatan sedia ada seperti tukul biasa tidak dapat memecahkannya dalam operasi menyelamat. Untuk memecahkan cermin tersebut, peralatan sedia ada barangkali perlu dinaik taraf dan penyelamat perlu menggunakan peralatan lain.

Cermin gelap bukan punca jenayah

Selain itu, Kamal Affendi juga berpendapat bahawa penggunaan cermin gelap tidak harus dikaitkan dengan punca jenayah kerana kebanyakkan penjenayah menggunakan motosikal. Dia juga mencadangkan bahawa, setiap peraturan baru yang ingin digubal perlulah dibincang terlebih dahulu bersama-sama pihak berkepentingan supaya ianya lebih holistik.
Dalam isu ini, semua pihak pemegang taruh perlu dipanggil untuk memberi pandangan mereka berhubung garis panduan, akta ataupun peraturan yang akan digubal supaya secara holistiknya, kita dapat menilai kedudukan semasa masalah tersebut.
Ia penting untuk mendapat pandangan semua pihak supaya apabila terdapat perubahan yang hendak dilakukan, ia akan menjadi lengkap.
Namun, bagi pihaknya dia sentiasa menghormati peraturan baharu itu namun tetap berpendapat bahawa tugas polis dalam penguatkuasaan akan menjadi lebih sukar.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alis menyatakan bahawa pihak polis tidak dipanggil bagi membincangkan peraturan baru tersebut.
Sumber: Astro Awani

Post a comment

0 Comments