Terubuk RM1 seekor laris

IKAN terubuk yang dijual pada harga RM1 seekor di pasar Sadong Jaya, hari ini. - Foto ihsan pembaca
SADONG JAYA: Lebih 200 kilogram ikan terubuk yang dijual pada harga istimewa, RM1 seekor, laris dalam masa tidak sampai setengah jam jualan hari ini.
Harga istimewa itu ditawarkan sempena Program Lan Berambeh di pasar Sadong Jaya di sini, yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidil Lariwoo, pagi tadi.
Seorang penduduk, Mortada Malie, 50, berkata pasar berkenaan dikerumuni orang ramai sebaik saja jualan murah itu diumumkan.
“Walaupun jualan hanya bermula pada jam 11 pagi, orang ramai sudah berada di pasar itu seawal jam 8 pagi.
“Malah, ramai membawa plastik sendiri kerana tidak mahu terlepas peluang membeli ikan terubuk yang dijual murah itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mortada berkata, ikan terubuk yang menjadi kegemaran ramai itu biasanya dijual pada harga RM15 sekilogram.
“Ikan terubuk tempatan ini ditangkap di kawasan Jemukan hingga Beladin dan Maludam.
“Walaupun saiz ikan yang dijual hari ini bukan yang terbesar, harga yang ditawarkan itu adalah yang paling murah,” katanya.
Katanya lagi, berikutan jumlah orang ramai semakin bertambah untuk mendapatkan ikan itu, anggota polis dan RELA terpaksa dipanggil bagi mengawal keadaan, di mana orang ramai diminta beratur sebelum dibenarkan membeli ikan istimewa itu.
“Bagaimanapun, ramai yang pulang hampa kerana ikan yang dijual, habis dalam masa yang singkat,” katanya.

Post a comment

0 Comments