Polis tak boleh tutup lokasi pencarian Acap



POLIS tidak mempunyai kuasa menutup kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail di Gopeng, daripada dikunjungi orang awam.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh abang Mohammad Ashraf yang mahu lokasi pencarian itu ditutup kepada orang awam.
Katanya, walaupun sudah menerima laporan namun pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk melarang orang awam daripada keluar masuk ke lokasi itu.
“Kita ada terima laporan namun kita tidak boleh menyekat orang awam daripada memasuki kawasan itu kerana ‘laluan tikus’ terlalu banyak, bukan satu tempat saja.
“Malah kita turut menjangkakan orang tempatan juga (melalui kawasan itu) kerana operasi pencarian itu turut dibantu oleh masyarakat tempatan membabitkan kira-kira 800 orang,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Siput di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, hari ini.
Dalam majlis itu, Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Siput yang baru berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Superintendan Rozeni Ismail yang bertukar jawatan sebagai Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Telekomunikasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
Razarudin berkata, pihaknya tidak berupaya untuk menutup lokasi pencarian itu berikutan kawasan berkenaan adalah tumpuan rekreasi selain lokasi itu adalah kawasan perkampungan.
“Namun begitu, kita akan tentukan orang awam yang keluar masuk itu menerusi kebenaran polis sama ada mereka boleh masuk atau tidak.
“Mungkin mereka boleh masuk waktu siang tetapi polis tidak benarkan pada waktu malam,” katanya.

Post a comment

0 Comments