Pengawal tidak puas hati Lan Pet-Pet didenda RM2,000



SEREMBAN 15 April - Pengawal keselamatan, Yahya Manap, 68, tidak berpuas hati kerana pelawak, Lan Pet-Pet hanya dikenakan denda sebanyak RM2,000 kerana memukulnya dalam kejadian pada 6 April lalu.
Warga emas itu berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu jumlah denda yang dikenakan terhadap Lan Pet Pet atau nama sebenar, Mazlan Ahmad, 49, memandangkan kecederaan yang dialaminya dalam kejadian itu agak teruk.
“Denda cuma RM2,000. Pakcik yang kena bedal (pukul) ini apa cerita. Pinggang masih sakit sampai sekarang akibat ditendang. Maruah pakcik yang tercemar apabila dia cakap persatuan penduduk ambil pengawal bodoh bagaimana pula?
“Pakcik kena bedal sampai diberi cuti sakit (MC) selama tiga hari kemudian terpaksa sambung cuti lima hari lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Yahya berkata, dia dan keluarganya dalam proses melantik peguam bagi mengemukakan saman malu ke atas Lan Pet Pet dan jika diikutkan hatinya mahu menyaman pelakon tersebut sebanyak RM3 juta.
Bagaimanapun, katanya, dia akan menyerahkan urusan saman itu kepada peguam yang telah dipilih oleh menantunya.
Lan Pet-Pet didenda RM2,000 oleh mahkamah di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memukul seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati di Nilai pada 6 April lalu.
Pelawak itu dipercayai bertindak demikian selepas ditegur oleh pengawal keselamatan itu kerana tidak membuat catitan dalam buku pelawat semasa memasuki kawasan perumahan itu. - UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments