Hanya 1 Daripada 150 Kedai Mamak Di Negeri Sembilan Ada Sijil Halal – Pengarah JJHEAINS

Jika sebelum ini kebanyakan restoran mamak di Kuala Lumpur dan Terengganu didapati tidak mempunyai sijil halal di premis restoran mereka, kali ini isu yang sama turut dikesan di Negeri Sembilan. Hanya satu daripada 150 kedai mamak di Negeri Sembilan disahkan mempunyai sijil halal Malaysia menurut Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri berkenaan, Mohd Zaidi Ramli, tiada sebarang halangan yang ditetapkan buat pelanggan yang mahu mengunjungi restoran mamak.

Sijil halal penting

Hanya satu sahaja yang ada sijil halal Malaysia dan ada sebuah lagi sedang proses permohonan. Pemilikan sijil halal ini penting bagi memastikan kualiti penyediaan makanan termasuk kandungan dalam makanan digunakan itu adalah bersih, selamat dan yang penting mengikut syarak.
Saya tidak kata yang tiada sijil halal itu menggunakan barang-barang haram, tetapi dari segi penyediaan makanan, kualiti kebersihan premis serta bahan apa yang mereka gunakann dalam masakan, kita tidak tahu kerana mereka ini tidak diaudit, berbanding yang ada sijil halal mereka ini sentiasa di pantau dan diaudit penggunaan bahan-bahan masakan, termasuk kebersihan premis.
Sijil halal merupakan dokumen yang penting bagi pemilik restoran kerana ianya mampu memberi keyakinan buat pelanggan untuk menjamu selera di restoran . Di samping itu, melalui sijil halal, pelanggan lebih yakin tentang tahap kebersihan sesebuah premis.

6 kategori yang layak mohon sijil halal

  • Pengeluar / pengilang
  • Pengedar / penjual
  • Pengeluar sub-kontrak
  • Pembungkusan semula
  • Premis makanan
  • Rumah sembelih

Kes salah guna logo halal

Awal tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyerbu sebuah kedai mamak di Terengganu kerana mengelirukan orang ramai dengan menyalahgunakan logo halal. Hasil siasatan, logo halal tersebut ditemui tertampal di peti sejuk bahagian dapur premis berkenaan sedangkan premis berkenaan dipercayai tidak pernah memiliki sijil pengesahan halal.
Menurut Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi, penggunaan logo halal tidak sah oleh pengurusan restoran mamak itu disiasat mengikut Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta bagi syarikat, jika sabit kesalahan.
Sumber: Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments