Bayi perempuan 8 bulan hidap kanser di mulut. Perlu Bantuan Segera

KEADAAN Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin berusia 8 bulan yang menghidapi ketumbuhan dalam mulut sejak lahir ketika ditemui di Ayer Molek. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber.
MELAKA: “Doakan semoga Ainul Mardhiah terus kuat untuk bertahan serta melawan kansernya,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak.
Ahmad Safiuddin, 24, adalah bapa, Ainul Mardhiah berusia lapan bulan yang menghidap kanser pada mulut atau ‘Germ Cell Tumor’.


Beliau berkata, sebaik Ainul Mardhiah dilahirkan, mulut anak sulungnya itu sudah ditumbuhi kanser berkenaan.
“Selepas keadaan Ainul yang ketika itu dirawat di Hospital Melaka (HM) stabil, dia dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya ketika usia 10 hari.
“Selepas menjalani pembedahan, dia seperti bayi yang lain mampu tersenyum dan kembali normal.

Ahmad Sufiuddin dan isteri, Nurul Erwani bersama Ainul Mardhiah yang menghidap ketumbuhan dalam mulut sejak lahir ketika ditemui di Ayer Molek. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber.
“Bagaimanapun, pada Oktober lalu, saya dan isteri (Nurul Erwani Zaidi, 24) dimaklum bahawa terdapat ketumbuhan baharu di bahagian leher anak dan tidak jangka akhirnya jadi sebegini,” katanya ketika ditemui di Ayer Molek, hari ini.
Ahmad Safiuddin berkata, doktor kemudian menyarankan anaknya itu melakukan kimoterapi pada Disember bagi mengelak ketumbuhan itu daripada terus merebak.
Katanya, keadaan anaknya tidak menunjukkan perubahan walaupun dua kali menjalani kimoterapi malah ketumbuhan pada mulutnya terus membesar.
“Bayangkan dengan saiznya yang kecil dan berat kira-kira 1.2 kilogram anak kecil itu menjalani kimoterapi. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya saat melihat dia menanggung kesakitan itu.
“Bukan mudah untuk kami hadapi semua ini dan tempoh tiga bulan pertama adalah amat mencabar buat saya dan keluarga,” katanya.
Katanya, walaupun anaknya itu menahan sakit namun pergerakannya aktif selain setiap kali namanya dipanggil dia akan berpaling serta memberi tindak balas.
“Selagi boleh ikhtiar kami akan cuba lakukan yang terbaik, walaupun doktor ada memberitahu keputusan CT scan (imbasan CT) menunjukkan terdapat sel kanser baharu ke otak.
“Doktor juga memberitahu kanser pada mulutnya juga itu tidak lagi boleh dibuang,” katanya.
Ahmad Safiuddin berkata, dia kini mencuba perubatan alternatif dengan menggunakan ubat yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi selain kos peralatan menukar tiub pada leher dan minum susu.
“Bagi bekalan ubatnya selama tiga hari, saya memerlukan kira-kira RM1,000 dan baru-baru ini pernah terputus bekalan selama dua minggu kerana kekangan kewangan.
“Kos kelengkapan menukar tiub pada leher dan susu pula memerlukan kira-kira RM1,500 sebulan dan saya cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik untuknya,” katanya yang kini menjual bertih jagung ‘Pop Corn Ainul Mardhiah’ untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

Post a comment

0 Comments