Warga emas longlai, kaki tertusuk ranting

LELAKI warga emas ditemui dalam keadaan selamat selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang ketika mencari buah kayu di Hutan Simpang Gunong Bongsu, Kulim.
Mangsa, Zainol Mohd Arshad, 72, ditemui dalam keadaan lemah dan tidak berjalan akibat kakinya tertusuk ranting.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan 11.51 pagi, hari ini, mengenai kehilangan mangsa.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, Zainol dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak semalam selepas keluar mencari buah kayu pada 9.30 pagi.
“Pihak polis kemudian memohon bantuan bomba untuk mencari dan menyelamat.
“Mangsa cedera pada kaki kanan akibat tertusuk ranting kayu menyebabkan dia tidak boleh berjalan,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.
Mohd Yusri berkata, mangsa berjaya dibawa keluar pada 3.45 petang dan diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan selanjutnya.

Post a comment

0 Comments