[VIDEO] Jumlah mangsa terhidu gas kimia berbahaya terus meningkat


PASIR GUDANG: Puluhan ambulans dilihat bertali arus memasuki Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, di sini, sejak jam 10 pagi tadi membawa pelajar yang dipercayai terhidu gas kimia berbahaya.
Antara sekolah yang dipercayai terjejas termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Scientex, yang terletak kira-kira 11 kilometer dari kawasan pembuangan sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim.
Difahamkan, pelajar dari SK Taman Bukit Dahlia dan sekolah Taman Rinting turut dikejarkan ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Suasana panik dilihat di pintu masuk dewan berkenaan apabila beberapa ibu bapa yang datang diminta tidak masuk ke dalam dewan bagi membolehkan rawatan segera diberikan kepada pelajar terbabit.
Seorang ibu yang terjejas, Siti Nurhayati Saimon, 38, berkata beliau dihubungi guru SMK Taman Scientex selepas anaknya dikejarkan ke dewan berkenaan kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Saya bergegas ke sini apabila pihak sekolah memaklumkan 70 pelajar SMK Taman Scientex termasuk anak saya terhidu gas berbahaya dan perlu mendapatkan rawatan.
“Ramai ibu bapa juga panik dan cemas kerana sekolah berkenaan terletak agak jauh dari kawasan pencemaran, ” katanya kepada BH.

Post a comment

0 Comments