Pesawat berpatah balik penumpang tertinggal anak




DUBAI: Juruterbang pesawat Saudi Air terpaksa melakukan penerbangan kecemasan sebaik saja seorang ibu mengadu tertinggal anaknya di lapangan terbang.
Kejadian pelik itu berlaku hujung minggu lalu apabila pesawat Saudi Air terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang selepas seorang penumpang mengadu tertinggal anaknya di lapangan terbang.
Penerbangan SV832 dari Jeddah ke Kuala Lumpur, berpatah balik selepas seorang ibu warga Arab Saudi memberitahu kru kabin beliau tertinggal anaknya di kawasan pelepasan di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz.
Rakaman video yang menunjukkan juruterbang meminta kebenaran untuk berpatah balik ke lapangan terbang, sambil bercakap menggunakan operator ATC. Beliau kelihatan terkejut dan terpaksa meneliti protokol yang perlu dipatuhi untuk mengendalikan kejadian itu.
“Semoga Tuhan bersama kita. Boleh kami berpatah balik atau bagaimana,”? kata juruterbang yang kedengaran bercakap dengan pengawal trafik udara.
Pengawal yang mengesahkan nombor penerbangan kedengaran bertanya seorang lagi rakan sekerja berhubung protokol.
“Pesawat ini meminta kebenaran untuk berpatah balik, seorang penumpang tertinggal bayi di kawasan menunggu,” kata juruterbang.
Pengawal kemudian meminta juruterbang mengesahkan semula alasan untuk berpatah balik.
“Kami sudah memaklumkan, seorang penumpang tertinggal bayi di terminal dan menolak untuk meneruskan penerbangan,” kata juruterbang.
“Baiklah, patah balik ke pintu pelepasan. Kejadian ini sesuatu yang baharu buat kami!” kata pengawal. - Agensi

Post a comment

0 Comments