Isteri, dua anak tiri, didakwa bunuh CEO Cradle Fund



BALU serta dua anak tiri kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.
Wanita berusia 43 itu, serta dua anak lelakinya yang berusia 15 dan 17 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan akan dibaca bersama Seksyen 34 KK, menerusi arahan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ketiga-tiganya ditahan di kediaman mereka jam 6.45 pagi hari ini.
“Jabatan Peguam Negara sudah mengeluarkan arahan untuk mendakwa ketiga-tiganya mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 34 KK.
“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya pada jam 2 petang ini bagi proses pertuduhan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 14 Jun tahun lalu, Nazrin, 47, ditemui maut dalam kejadian kebakaran di bilik di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya.
Bagaimanapun, siasatan mendapati bahawa Allahyarham sudah meninggal dunia terlebih dulu selain hasil bedah siasatan mendapati terdapat kesan melecur di beberapa bahagian di bahagian tubuh serta dua kesan lubang atau kecederaan pada bahagian kiri kepala mangsa.
Susulan itu, polis menahan beberapa individu untuk soal siasat termasuk balu Allahyarham serta bekas suami wanita itu dan dua anaknya.

Post a comment

0 Comments