Dilema Anak Sulung, 4 Kali Tangguh Kahwin Demi Bantu Keluarga Tapi Akhirnya Disahkan Hidap Kanser

Impian untuk menghalalkan hubungan percintaan ke alam perkahwinan pastinya akan melalui pelbagai cabaran dan dugaan. Bercinta bertahun-tahun tapi jika bukan jodoh anda, pastinya akan terputus.
Tapi, lain pula dengan dugaan yang diharungi oleh lelaki ini, dia terpaksa melupakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga apabila, ikatan pertunangan terputus dan disahkan mengidap kanser.

Berkali-kali tangguh nak kahwin

Menerusi laporan mStar, Syafiq Zamree terpaksa menangguhkan hasrat untuk berkahwin sebanyak empat kali selepas yang sepatutnya berkahwin pada tahun 2018. Anak kelahiran Kuala Terengganu ini mendedahkan punca dia menangguhkan perkahwinan adalah disebabkan masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarganya.
Selain itu, dia yang merupakan anak sulung daripada lima beradik telah memikul tanggungjawab yang besar dalam membantu keluarga dalam urusan kewangan. Dia juga mengambil alih tanggungjawab kerana kedua ibu bapanya mengalami masalah kesihatan. Segala wang yang dikumpul untuk perbelanjaan kahwin digunakan untuk membantu adik-beradiknya.
Saya ada tanggungjawab dan perlu memberi sokongan kepada mak ayah dan adik-adik. Tangguh kahwin kali pertama, kedua pihak sebelah sana masih boleh terima, tapi selepas itu agak sukar untuk mereka ditangguh-tangguh lagi.
Simpanan bukan habis langsung, tapi bila dah guna dan simpan balik, ada lagi yang perlu saya bantu satu demi satu, yang dilakukan dengan rela hati.

Akhirnya putus tunang

Disebabkan banyak kali menangguhkan majlis perkahwinan, tali pertunangan bersama pasangannya terpaksa diputuskan. Bekas tunangnya juga kini menerima lamaran orang lain dan bakal berkahwin tidak lama lagi.
Memang sakit putus tunang, tapi saya reda. Saya tak boleh paksa semua orang untuk terus tangguh, dan saya sendiri perlu terus memberikan sokongan kepada keluarga.

Disahkan menghidap kanser

Paling menyedihkan lagi, Syafiq diuji lagi apabila dia disahkan menghidap penyakit kanser tahap satu. Menurutnya, tiada siapa yang mengetahui dirinya menghidap kanser termasuklah bekas tunangnya.
Saya tidak beritahu sesiapa mengeni penyakit kanser ini, keluarga dan bekas kekasih pun tak tahu. Saya baru meluahkan di Twitter semalam.
Nasib bertimpa-timpa dengan hal kewangan keluarga, saya tak jadi kahwin dan ada kanser. Tapi, saya tak putus harapan dan mahu ‘move on’ teruskan kehidupan.
Dia juga berdoa agar terus bersemangat dan kuat untuk menghadapi segala takdir yang telah ditentukan oleh tuhan.
Saya berdoa setiap hari agar diberikan kekuatan, untuk saya terus memberi sokongan kepada keluarga. Merekalah harta saya sekarang.

Post a comment

0 Comments