Bina Surau dari batu sungai. Ini sebab di sebaliknya




SEJUK dan mendamaikan. Itu dirasai sebaik menjejak kaki ke dalam surau dibina sendiri oleh bekas askar dengan 12,000 batu sungai yang dikutipnya di Bukit Kachi, Sintok.
Mejar (B) Mustafa Musa, 58, mengambil inisiatif membina surau di tanah miliknya itu dengan hasil titik peluh sendiri dibantu seorang lagi kenalannya untuk kemudahan pekebun dan penoreh menunaikan ibadat.
Menurutnya, idea menggunakan batu sungai itu kerana mahu kelihatan unik supaya orang tertarik untuk singgah dan menunaikan solat di situ yang diberi nama Surau Batu Sungai Bukit Kachi.
“Saya mula membina surau ini sejak April tahun lalu dan dapat digunakan untuk beribadat bulan lalu yang mana setakat ini sentiasa ada jemaah bersolat di sini.
“Ketika mula membina surau ini, setiap hari saya ke sungai yang terletak 20 meter dari sini mengutip batu sungai yang dikumpul sebelum disusun menjadi dinding surau,” katanya ditemui hari ini.
Mustafa berkata, surau itu dibina dengan 12,000 batu sungai dan kos keseluruhan untuk membinanya termasuk bumbung, simen dan lantai dianggarkan RM25,000.
“Niat saya hanya satu ingin menarik orang ramai datang beribadat di sini apabila melihat kelainan surau dibina ini.
“Selain itu saya juga ingin menginfakkan pembinaan surau ini buat ibu bapa supaya mereka memperoleh pahala,” katanya.

Menurutnya, kesabaran dan kesungguhan sangat penting sepanjang membinanya kerana bukan mudah untuk mengutip batu sungai itu setiap hari kemudian disusun pula menjadi surau.
“Jika masuk ke dalam kita rasa sejuk dan damai namun buat masa ini saya sedang menambah baik surau ini dengan menyediakan bekalan elektrik untuk kemudahan jika bersolat Maghrib dan Isyak.
“Surau ini juga mampu memuatkan 85 orang dan kebanyakannya yang singgah bersolat ini pekebun dan penoreh dan saya juga tidak lokek dengan ilmu Allah ini jika ada yang ingin belajar membina mengguna batu sungai ini,” katanya.

Post a comment

0 Comments