4 hari masih ‘hilang’ sejak kejadian, ‘status’ keadaan Mohd Haziq masih dinanti



Tragedi penembakan rambang oleh seorang teroris Australia di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Christchurch New Zealand telah memberikan kesan mendalam kepada seluruh dunia.
Kebanyakan mangsa yang disasarkan oleh Brenton Tarrant adalah warga imigran dan umat Islam, ekoran terpengaruh dengan ideologi fahaman kanan dan Neo-Nazi seperti yang terkandung dalam manifesto The Great Replacement.
Paling menyedihkan, tragedi di New Zealand ini telah melibatkan beberapa rakyat Malaysia, dan salah seorangnya adalah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang statusnya masih dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas.


4 hari hilang, kondisi Mohd Haziq tidak dapat dipastikan

Mohd Haziq merupakan anak kepada Mohd Tarmizi Shuib, 42 yang juga menjadi mangsa tembakan rambang tersebut. Mohd Tarmizi sekarang sedang dirawat di Hospital Christchurch.


Keluarga turut serta mencari Mohd Haziq

Bimbang dengan keadaan Mohd Haziq dan Mohd Tarmizi di sana, Mariani Shuib, kakak kepada Mohd Tarmizi beserta beberapa ahli keluarganya akan berangkat ke New Zealand untuk membantu operasi pencarian Mohd Haziq.
“Ibu Mohd Haziq kini ada bersama pihak polis untuk memberikan nama yang betul, gambar yang betul kerana memang ada mayat-mayat yang belum dikenal pasti, jadi mereka harus membuat ujian DNA sebelum ada apa-apa kenyataan daripada polis.”

Tunggu maklumat daripada pihak berkuasa

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang berada di sana, berkata usaha mengesan remaja itu sedang dilakukan oleh polis New Zealand berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibunya.
“Disebabkan  Akta Privasi negara 1993, harapan terbaik adalah untuk menunggu maklumat dan maklum balas daripada kerajaan New Zealand. Nama-nama mangsa yang terkorban akan diumumkan pada hari Rabu, setelah semua keluarga selesai dihubungi.”

Mangsa trauma dengan tragedi berkenaan

Manakala, seorang lagi anak Mohd Tarmizi, Mohd Haris, 12, sedang menjalani rawatan akibat trauma di hospital kanak-kanak Christchurch.
Setakat ini, pihak berkuasa New Zealand mengesahkan bahawa 50 maut dan 20 cedera dalam serangan pengganas di kedua-dua masjid di Christchurch.
Sumber: MalayMail, Oh My Media

Post a comment

0 Comments