'Saya nak kahwin'

BUTTERWORTH: “Saya tak mahu belajar, saya mahu kahwin.”
Itu luahan kecewa seorang kanak-kanak Rohingya berusia 11 tahun apabila perkahwinannya dengan lelaki dikenali sebagai Mahbub, 21, dibatalka n selepas majlis akad nikahnya diserbu pihak berkuasa, Rabu lalu.
Nour Aishah Mohammed Somir, 11, berkata, dia sudah lama merancang perkahwinan dengan Mahbub kerana mereka saling mengenali sejak kecil dan bapanya (Mohammed Somir) menyokong perkahwinan mereka.

“Saya dilahirkan , dan sejak kecil saya mengenali Mahbub kerana dia sering datang ke rumah kami di Taman Perai dari Ipoh.
“Memang kami saling sayang menyayangi dan dia juga sudah memberitahu mahu mengahwini saya,” katanya.
Menurutnya, dia tidak dipaksa bapa atau keluarganya untuk berkahwin dengan Mahbub namun ia datang daripada kerelaan hatinya sendiri.
“Memang saya sedih apabila diberitahu tidak dapat berkahwin kerana saya sudah meyiapkan diri untuk menjadi isteri Mahbub.
“Malah ayah sudah menghabiskan wang untuk menyediakan majlis perkahwinan kami,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Perai di sini, semalam.

Ditanya sama ada dia tidak berasa rugi berkahwin pada umur semuda itu, Aishah berkata, dia tidak kisah tidak dapat bersekolah atau bekerja kerana mahu menjadi suri rumah kepada Mahbub.
Bapa Aishah, Mohammed Somir Abdul Razak, 38, menyifatkan tindakannya untuk mengahwinkan Aishah bukan kerana kesempitan wang bagi menyara kehidupan mereka empat sekeluarga.
Mohammed berkata, dia mempunyai dua anak, Aishah adalah anak tunggal daripada perkahwinan pertamanya dan mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia empat tahun hasil daripada perkahwinan keduanya.
“Emak Aishah meninggal dunia enam tahun lalu dan sejak itu saya sendiri membesarkannya. Saya sudah 22 tahun berada di negara ini dan datang ke sini pada 1997.
“Aishah dan bakal pasangannya, Mahbub masing-masing sudah mengenali sejak kecil dan membesar bersama-sama di negara ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia bekerja sebagai buruh kontrak dan mempunyai wang simpanan bagi menyara kehidupan keluarganya dan ia bukan alasan untuk mengahwinkan anak perempuan sulungnya.
Dia hanya bimbang dengan keselamatan Aishah kerana semakin dia meningkat remaja, Aishah sering diganggu kumpulan lelaki warga Rohingya.
Mohammed berkata, dia sendiri pernah berdepan beberapa kejadian anaknya dikacau oleh lelaki Rohingya.
“Saya takut apa-apa terjadi kepadanya dan lelaki yang bakal saya kahwinkan juga orang yang baik dan masing-masing sudah kenal.
“Mahbub (bakal suami) bekerja sebagai buruh di Ipoh dan mempunyai simpanan wang yang cukup untuk menjaga anak saya, saya percayakannya, ” katanya.

Menceritakan kejadian pada Rabu malam itu, Mohammed berkata, dia membelanjakan RM5,000 bagi menganjurkan majlis makan pada hari kejadian meraikan perkahwinan anaknya, namun terkejut selepas melihat polis dan beberapa orang lain datang bagi menghentikan majlis itu.
“Masa itu kami baru bersiap sedia untuk melangsungkan upacara akad nikah dan akan dinikahkan seorang kadi yang juga kenalan saya.
“Namun kami mendapat tahu ada pihak berkuasa hadir dan menasihati kami agar tidak meneruskan majlis berkenaan,” katanya.
Menurutnya, dia tiada pilihan selain terpaksa menghentikan upacara itu namun majlis makan tetap diteruskan.

Menurutnya, dia juga menyedari menjadi kesalahan di negara ini untuk mengahwinkan kanak-kanak di bawah umur dan menggunakan khidmat kadi tanpa tauliah, namun mengabaikannya kerana mengikut apa yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW.
“Namun selepas berbincang dengan pihak berkuasa, saya faham kenapa saya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan dan sanggup menunggu sehingga Aishah cukup umur sebelum mengahwinkannya,” katanya.
Sementara itu, Mahbub berkata, dia sanggup menunggu Aishah cukup umur sebelum mengahwininya.
“Tak guna kalau saya gembira berkahwin sekarang tetapi ada masalah yang akan timbul nanti.
“Jadi lebih baik saya bersabar dan mengahwininya selepas dia cukup umur 18 tahun,” katanya yang sugul ketika ditemui.
Menurutnya, dia sudah membuat persiapan dan ada membeli baju baru bagi tujuan itu tetapi tidak dapat dipakai kerana upacara dibatalkan.

Post a Comment

0 Comments