Rakyat Malaysia diminta tinggalkan Azad Jammu, Kashmir segera

Penduduk Kashmir mengadakan demonstrasi semasa protes anti-India selepas Tentera Udara Pakistan mendakwa bahawa ditembak jatuh dua jet pejuang India, di Muzaffarabad, ibukota Pakistan bersekutu Kashmir.- Foto EPA
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di Azad Jammu dan Kashmir atau kawasan bersempadan dengan India dikehendaki meninggalkan buat sementara wilayah atau kawasan itu dengan serta-merta.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad (STMI) menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan, situasi keselamatan di kawasan sempadan India-Pakistan, terutama di ‘line of control (loc)’, kini tegang dan semakin membimbangkan berikutan beberapa insiden membabitkan angkatan tentera kedua-dua negara itu.
Menurut Suruhanjaya itu, pihaknya sedang memantau dengan teliti perkembangan situasi berkenaan.
“Warga Malaysia di Pakistan dikehendaki sentiasa bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan, termasuk memastikan segala dokumen pengenalan diri dan perjalanan sentiasa tersedia.
“Warga Malaysia juga diingatkan tidak melawat Azad Jammu dan Kashmir atau kawasan bersempadan dengan India serta mendapatkan nasihat perjalanan daripada pihak berwajib, sekiranya perjalanan itu tidak dapat dielakkan,” menurut catatan itu.
Rakyat Malaysia juga dikehendaki melaporkan sebarang pergerakan ke luar kawasan atau keberadaan mereka di sesuatu tempat kepada pihak STMI dan mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa Pakistan dari semasa ke semasa.
Media hari ini melaporkan ketegangan antara New Delhi dan Islamabad dengan kedua-duanya adalah kuasa nuklear, semakin memuncak sejak serangan pengganas di Pulwana, India pada 14 Februari lalu yang menyebabkan lebih 40 orang terbunuh dan ramai tercedera.
Menurut laporan, kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammed, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu. – BERNAMA

Post a comment

0 Comments