Masuk Percuma MAPS Mulai 1 Mac 2019

Masuk Percuma MAPS Mulai 1 Mac 2019
IPOH: Mulai 1 Mac 2019, para pengunjung tidak lagi perlu membayar tiket masuk ke Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata selepas ini, para pengunjung hanya perlu membayar bagi mendapatkan kupon untuk mereka merasai kesemua tarikan yang ada di dalam taman tema tersebut.
“Taman tema ini dibuka secara percuma di mana orang ramai boleh datang beriadah di sini. Cuma hanya perlu membayar jika mahu menggunakan fasiliti serta makan dan minum.
“Saya percaya dengan cara ini, tempat ini akan menerima lebih ramai pengunjung khususnya daripada Bandaraya dan seluruh Perak, sekali gus akan memeriahkan lagi MAPS ini,” katanya.
Tambahnya lagi, MAPS juga tidak akan mengeluarkan perbelanjaan bagi membuka tarikan-tarikan baharu pada masa akan datang.
Jelasnya, pihak pengurusan akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjadi rakan kongsi terhadap usaha tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran model perniagaan baharu MAPS di MAPS Meru Raya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut ditanya berkenaan ura-ura terdapat cadangan yang mahu menjadikan taman tema tersebut sebagai kawasan hentian rehat dan rawat.
Ujarnya, beliau telah berjumpa dengan pihak lebuh raya PLUS dan perkara tersebut telah dibincangkan namun, ianya memerlukan kajian terperinci sebelum ia diputuskan.
Terdahulu, semasa acara perasmian berlangsung, Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii Abdul Gaffor berkata, selain kupon yang berharga serendah RM3, para pengunjung berpeluang untuk mendapatkan MAPS Passport dengan harga RM80 dan MAPS Infinite dengan harga RM145.
Selain itu katanya, waktu operasi MAPS selepas ini akan beroperasi pada jam 4 petang sehingga 12 malam bagi hari Isnin, Selasa dan Khamis manakala, bagi hari Jumaat dan hujung minggu, MAPS akan beroperasi bermula jam 10 pagi sehingga 12 tengah malam.
Dalam pada itu, menerusi model perniagaan baharu ini, Shafeii berkata mereka menyasarkan kunjungan seramai 1 juta bermula Mac sehingga penghujung tahun ini.

SUMBER: PERAK TODAY

Post a Comment

0 Comments