Emma Maembong Sahkan Tidak Lagi Bertudung



Minggu lalu tular gambarnya tidak bertudung dan tampil membuat permohonan maaf di atas kelalaiannya itu. Bagaimanapun hari ini Emma Maembong mengesahkan dirinya tidak lagi bertudung selepas lima tahun berhijab.
Memetik laporan BH Online, Emma memberitahu dirinya tidak lagi bertudung sejak tiga hari lalu dan mengakui tindakannya itu bukanlah contoh yang baik. Katanya, apa yang dilakukannya itu tiada kaitan dengan kontroversi terpalit dirinya baru-baru ini.
Ujarnya lagi, bukan mudah untuk istiqamah dalam bertudung dan bersedia menerima kecaman netizen di atas keputusannya itu.
“Apa juga alasannya, saya mengaku khilaf ini datang daripada diri sendiri. Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan. Selepas ini, saya harus telan segala kecaman dengan lapang dada.
“Untuk kita istiqamah dalam bertudung bukan perkara mudah. Pasti ada ujian yang menjelma. Jika tidak betul-betul bersedia, pasti terumbang-ambing juga iman diri. Ia (tindakan membuka tudung) bukan contoh yang baik dan jangan ikut saya.
“Cuma dalam tempoh bertudung itu, bukan saya tidak mencuba untuk membulatkan hati. Namun, saat saya tewas dan perkara itu tular. Hukuman bertalu-talu datang, tetapi saya terima dengan hati terbuka,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Emma memberitahu keluarganya juga agak berat untuk menerima keputusannya itu namun mereka berharap agar dia akan kembali untuk istiqamah.
“Cuma, mereka akur dan tahu apa yang saya lalui selama ini. Mereka lihat dengan mata sendiri segala episod jatuh bangun dan ‘sakit’ saya menjadi anak seni.
“Mereka bukanlah menggalakkan saya tidak bertudung, tetapi dalam masa sama, berharap supaya suatu hari nanti saya akan kembali istiqamah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments