Pelajar dipenjara 6 tahun kerana rompak kenalan Tinder



PETALING JAYA: Tindakan seorang pelajar kolej swasta merompak seorang lelaki yang dikenali melalui aplikasi sosial Tinder dengan bersenjatakan pisau, membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mizan Qistina Razali, 24, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Tertuduh yang juga pelajar di sebuah kolej swasta, diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam belanya, Norhasham Hasan, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan sebanyak RM7,000.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mizan Qistina bersama bekas teman lelakinya yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan terhadap Foong Wei Chieh, 34 dan merampas sebuah telefon bimbit iPhone serta wang tunai RM1,500 dengan bersenjatakan pisau yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Cova Suites, Jalan Teknologi, Kota Damansara, di sini, jam 9.30 malam, pada 24 November 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, dalam rayuannya menerusi Norhasham, memohon dijatuhi hukuman ringan dengan alasan hukuman penjara yang lama akan merosakkan masa depannya memandangkan dia adalah adalah pesalah muda.
“Tertuduh ketika kejadian hanya berusia 21 tahun dan terpengaruh dengan bekas teman lelaki yang menjanjikan kesenangan.
“Tertuduh adalah anak sulung dan perlu menyara keluarga memandangkan ayahnya kini sudah tidak bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asyhraf Ashy’ari Kamaruzaman, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dijatuhi hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan adalah jenayah terancang serta menggunakan senjata.
Mengikut fakta kes, wanita itu mengajak mangsa datang ke kondominiumnya untuk mengadakan hubungan seks selepas berkenalan di Tinder.
Mangsa kemudian naik ke rumahnya dan mendapati tertuduh sudah pun berbogel sebelum seorang lagi suspek lelaki masuk ke dalam rumah lalu merompak mangsa hingga berlaku pergelutan.
Tertuduh kemudian terus turun ke kereta mangsa dan mencuri dompet lelaki itu sebelum ke mesin pengeluaran duit (ATM) untuk mengeluarkan wang milik mangsa.

Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments