Lelaki bawah pengaruh dadah bakar kereta depan IPK Kelantan

Keadaan ketika sebuah kereta jenis Naza Bestari terbakar di pintu utama IPK Kelantan di Jalan Bayam di sini semalam.
KOTA BHARU - Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh pil kuda seolah-olah cuba mencabar pihak polis dengan membakar sebuah kereta jenis Naza Bestari di pintu utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Jalan Bayam di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 petang, suspek berusia 43 tahun dikatakan mencurahkan minyak petrol di dalam kereta sebelum menyalakan api dengan pemetik api dan melarikan diri.




Sumber berkata, suspek tersebut telah diserahkan sendiri oleh abangnya berusia 48 tahun kepada pihak polis di hadapan IPK Kelantan pada pukul 9.45 malam sebelum dia ditahan semula untuk siasatan.

“Suspek yang mempunyai lima rekod lampau termasuk samun dan pernah dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) itu mengaku sengaja membakar kereta tersebut.

“Suspek mencurahkan minyak petrol yang diisi di dalam tong minyak pelincir di bahagian alas kaki penumpang hadapan dan terus menyalakan api. Dia kemudian terus melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui satu pemetik api serta satu tiub straw cerah mengandungi sebiji dan setengah pil berwarna merah dipercayai pil kuda.

“Kita turut merampas sekotak rokok serta sehelai seluar jeans yang dipakai suspek semasa kejadian tersebut. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kita percaya suspek memasukkan dadah ke dalam badan sebelum melakukan perbuatan tersebut,” katanya. Difahamkan, pemilik kenderaan tersebut yang merupakan seorang wanita ketika dihubungi untuk siasatan memaklumkan kenderaan itu didaftarkan atas namanya namun digunakan oleh keluarga madunya.



Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian. - K! ONLINE


Sumber: Kosmo ONLINE

Post a Comment

0 Comments