Kenapa bayi kami meninggal?

SEORANG bayi lelaki berusia sembilan bulan meninggal dunia akibat pendarahan serius di kepala disyaki didera pengasuh di Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, dekat Ipoh, Jumaat lalu.
Mangsa, Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 2.49 petang hari ini.
Ibu Muhammad Firas Danial, Nur Aziemah Zahari, 26, berkata dia dihubungi kakaknya yang turut tinggal di kuarters berkenaan pada 10.30 pagi memaklumkan anak tunggalnya dalam keadaan lemah di rumah pengasuh berkenaan.

Katanya, pengasuh berusia 30 tahun itu memberitahu dia menyedari keadaan anak lelakinya dalam keadaan lemah di ruang tamu selepas wanita berkenaan keluar dari tandas.
“Ketika mengambil anak di rumah pengasuh berkenaan, suami pengasuh yang bekerja sebagai anggota polis menyerahkan anak kepada saya sebelum saya membawanya ke Hospital Seri Manjung (HSM).
“Firas dipindahkan ke PICU HRPB pada 2 petang hari sama (Jumaat) kerana doktor di HSM memaklumkan pembuluh darah di kepala anak saya mengalami pendarahan serius dipercayai akibat gegaran kuat dan memerlukan rawatan di HRPB.
“Hasil pemeriksaan X-ray doktor di hospital berkenaan turut memaklumkan tiada tanda tersedak susu, bagaimanapun tiada kesan lebam di luar badan anak saya,” katanya ketika dihubungi di PICU HRPB, hari ini.
Nur Aziemah yang bekerja sebagai kerani di sebuah kuari di Seri Manjung berkata, dia menghantar anak tunggalnya ke rumah pengasuh berkenaan sejak tiga minggu lalu kerana kakaknya yang sebelum ini menjaga Muhammad Firas sudah mula bekerja.
“Sebelum saya hantar anak saya, dia memang aktif bermain, malah dia berada dalam keadaan ceria.
“Ketika kejadian, pengasuh dan suaminya berada di rumah, tiga lagi kanak-kanak yang dijaga pengasuh berkenaan tiada di rumah manakala dua anak pengasuh berusia lima dan enam tahun bersekolah (tadika)," katanya.

Berikutan kejadian itu, dia membuat dua laporan di IPD Manjung pada Jumaat lalu dan satu lagi di Balai Polis Sungai Senam, semalam.
Katanya, dia bukan mahu membalas dendam terhadap pengasuh berkenaan, sebaliknya untuk pengajaran kepada orang lain sekiranya benar anaknya meninggal dunia akibat didera.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua pihak iaitu daripada keluarga mangsa dan pengasuh berkenaan.
“Setakat ini, keluarga mendakwa kes itu akibat penderaan, namun kami akan menyiasat kes ini dan mengetahui punca kematian bayi itu hasil bedah siasat," katanya.

VIDEO


Post a Comment

0 Comments