Kanak-kanak tulis surat rayu kerajaan haramkan PUBG Mobile



INDIA. Sepucuk surat yang ditulis seorang budak lelaki kepada kerajaan Maharashtra, sebuah negeri di India meminta agar permainan video popular, PUBG diharamkan mencuri tumpuan ramai, termasuk peminat di Malaysia.
Dalam surat empat muka surat itu, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Ahad, 11, berkata, PUBG atau nama penuhnya PlayerUnknown's Battlegrounds banyak membawa kesan buruk.

Menurut laporan India Post, Ahad percaya permainan tersebut yang telah dimuat turun lebih 100 juta pengguna telefon bimbit mempromosi keganasan dan buli siber.
Ia juga dakwanya banyak memaparkan elemen pembunuhan dan boleh membawa kepada ketagihan permainan video.
"Saya juga akan membuat tuntutan undang-undang sekiranya permainan ini tidak diharamkan," tulisnya.

Surat itu ditujukan kepada tujuh individu termasuk Menteri Eletronik dan IT, Ravi Shankar Prasad, Menteri Pendidikan Maharashtra, Vinod Tawde, dan Ketua Menteri Maharashtra, Devendra Fadnavis.
Surat Ahad itu mendapat pelbagai reaksi netizen, pengguna akaun Facebook Jenish Nongthombam menulis: "PUBG bukan untuk kanak-kanak, patut haramkam telefon bimbit kepada kanak-kanak".
"Disiplin lebih penting, bukan mengharamkan sesetengan permainan mudah alih. Mengapa tidak nasihatkan orang untuk menguruskan masa mereka dengan bijak?," tulis Fatin Najlaa.
"Elok pun haramkan PUBG ni,bukan apa kesian tengok member (kawan) aku sejak dia main PUBG asyik mencarut sorang2 je dalam jamban (tandas), mencarut atas katil, lepak kedai pun mencarut. Tunggu sikit hari masuk wad gila member aku sebab tension main, asyik kena tembak je," tulis Mohamad Irsyad.

Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak kerajaan berhubung surat berkenaan.
Permainan popular PUBG diperkenalkan oleh PUBG Corporation, anak syarikat kepada gergasi permainan video Korea Selatan, Bluehole. - UTUSAN ONLINE

Post a comment

0 Comments