Dua maut berebut kupon makanan percuma



DUA wanita warga emas maut dipercayai akibat sesak nafas ketika berasak-asak untuk mendapatkan kupon makanan percuma di ICC Pudu, Jalan Kijang, Kuala Lumpur, tengah hari ini.
Sekurang-kurangnya enam warga emas pengsan dalam kejadian 12 tengah hari itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika pembahagian kupon makanan untuk digunakan pada 11 Februari depan.

“Kami menerima maklumat sekurang-kurangnya enam warga emas pengsan di lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati dua wanita dikenali sebagai Ah Po, 85, dan Law Ion Nang, 78, terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan mendapati kedua-duanya sudah meninggal dunia dan siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati satu program pemberian kupon makanan kepada warga emas diadakan di lokasi oleh gabungan peniaga dan penjaja ICC Pudu bermula 11 pagi hari ini.
Katanya, kupon berkenaan akan digunakan pada 11 Februari depan di tempat sama bagi mendapatkan makanan percuma.
“Pihak penganjur hanya memperuntukkan 200 kupon, tetapi kehadiran orang ramai mencecah seramai kira-kira 1,000 orang.
“Mangsa meninggal dunia di lokasi dipercayai berpunca daripada sesak nafas ketika berasak-asak untuk mendapatkan kupon.
“Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat petang hari ini,” katanya.

Post a Comment

0 Comments