Dengan Bajet RM1500, Anda Mampu Makan Angin Di Bangkok Selama 6 Hari 5 Malam. Naik Kereta Api Je!

Rata-rata rakyat Malaysia gemar makan angin di Hat Yai, Thailand. Bukan setakat mencuci mata, pelancong juga berpeluang menikmati panorama dan budaya di negara Gajah Putih itu.
Jika anda sudah bosan melancong di Hat Yai, apa kata kali ini anda ubah angin ke Bangkok pula dengan hanya menaiki kereta api. Bajet pun sangat murah!

Tren dari Hat Yai ke Bangkok

KEMBARA KE WILAYAH 1001 PASAR DAN MALAMNYA YANG SENGAJA MENUNDA SIANG
Highlight dari kembara kali ini ialah menaiki tren dari Hat Yai ke Bangkok. Jadi saya takkan bercerita tentang perjalanan menaiki ETS dari KL Sentral kerana metod yang sama digunakan ketika ke Hat Yai dulu. Jadi melalui link di atas, harap dapat membantu kalian yang bercadang menggunakan ETS sampai ke Padang Besar. Seterusnya menaiki tren ke Hat Yai. Saya secara peribadi amat suka perkhidmatan ETS. Nak beli tiket mudah, waktunya tepat dan selesa. Tiket ke Padang Besar berharga RM75.
Kali ni perjalanan kami suami isteri ditemani sahabat lama zaman Uni saya iaitu Renn. Kami sengaja berpakat dengan Renn sebab Renn dengan Bangkok macam isi dengan kuku. Setahun 2-3 kali dia ke Bangkok. Kebetulan Renn juga ada bisnes online yang menjual barang kulit, jeans dan aksesori. Dia selalu ke Bongkok atas urusan niaga, berjumpa dengan pengedar dan menyelam barang. Jadi sosok Renn sudah tentu banyak membantu kami sepanjang di Bangkok.

Jangan lupa untuk set jam bila sampai Thailand

9 – 10 Januari 2019. Hari Pertama & Kedua : Kuala Lumpur – Padang Besar – Hat Yai – Bangkok.
Kami bersembang meriah dalam ETS dan tak tidur langsung dari KL ke Padang Besar. Sebab konon-konon nak tidur dalam tren ke Bangkok nanti. 9.55 pagi kami naik ETS untuk mengejar tren ke Hat Yai yang cuma ada 2 sesi saja iaitu pagi dan petang. Kalau tak, kena naik van atau bas ke Hat Yai. Dalam 3.40 petang kami sampai di Padang Besar, beli tiket dan menaiki tren ke Hat Yai.
Sesampai saja di terminal Hat Yai, kami terus ke kaunter untuk beli tiket tren ke Bangkok. Kawan Renn yang tinggal di Hat Yai nasihatkan tak perlu beli online, sebab kebiasaan tiket ada saja. Orang lebih suka naik bas, cepat sampai katanya. Kebetulan pula kami datang bukan peak season. Jadi tiket tu inshaAllah ada. Namun begitu, kepada yang ingin persediaan rapi dan tak mahu kelam-kabut, bolehlah melayari website ini untuk beli tiket secara online di 12GO Asia. Cara pembayaran adalah dengan menggunakan credit card (CC). Jangan lupa untuk set jam bila sampai Thailand untuk tidak keliru. Waktu Thailand adalah lewat 1 jam dari Malaysia.

Beli sim card untuk standby

Ada 3 kategori tiket dan kami beli yang special. Harganya lebih kurang RM130. Ada upper dan lower bed. Beza cuma RM10 gitu. Kalau duduk bawah dapatlah melihat permandangan luar, kalau atas hadap dinding saja. Kami ada sekitar sejam lebih sebelum tren bertolak. Sempat la makan-makan dulu di Hat Yai, beli sim card dan bekal makan minum untuk standby perjalanan panjang atas tren nanti.
17 jam lebih kurang dalam tren dari Hat Yai menuju Bangkok, mencatatkan pengalaman kembara yang mengujakan, penuh debaran sekaligus mempersonakan. Masih terngiang bunyi angin menghentam tubuh keretapi yang laju serta rel yang bergesel membelah kepekatan malam. Sekitar jam 8 malam kerusi ditukar menjadi katil. Kami berjalan ke kafe dan menikmati bekal yang dibeli tadi sambil sembang-sembang. So far perjalanan kami smooth dan mengikut rancangan. Tak rasa penat pun walaupun belum sempat berehat lagi sejak pagi tadi.
Sukar sungguh melelapkan mata, mulalah saya membayangkan percikan dari filem yang pernah ditonton. Bayangkan saya selak langsir, penumpang sebelah jadi zombie. Tiba-tiba tren berhenti, dan ada alien masuk. Tiba-tiba lagu berkumandang, semua penumpang bangun dan menyanyi sambil menari. Macam-macam. Maklumlah minah drama kan?

Kemudahan sleeper sempurna

Amar sesekali mengintai dari ruang tidurnya di bahagian atas dan say hi. “Tak boleh tido ke tew?” Saya geleng kepala. Kami sama-sama tak boleh tidur. Walaupun sebenarnya kemudahan sleeper itu sempurna. Masa pekerjanya menyediakan ruang tidur (dari kerusi menjadi katil), selimut masih dalam plastik lagi. Bantal, cadar, selimut semuanya bersih dan wangi. Tilamnya juga tak keras. Begitu juga dengan toiletnya yang cantik berkilat. Baunya susah saya nak gambarkan¬–macam bau hospital dan klinik, tapi versi nyaman. Macam mana entah nak terangkan. Saya perhatikan beberapa kali juga pekerja dalam tren mop lantai. Oh ya soket untuk charge handphone pun ada di sebelah katil. Disebabkan toilet bersebelahan saja dengan gerabak kami, saya berkaki ayam saja. Mungkin sebab teruja atau terlebih minum kopi yang jadi penyebabnya, atau boleh saja guna juga teori Amar-Tempat baru kan? Dalam tren pula. Memang tak boleh tido sangat.

Panorama pagi dari balik jendela memang indah

Saya tak ingat bila akhirnya saya terlelap, tapi terjaga apabila tren berhenti di stesen Hua Hin. Kedengaran suara yang menjual makanan dan minuman dari luar tren. Dari jendela saya nampak matahari mulai memunculkan diri. Saya kejut Amar untuk ambilkan gambar (sebab dia dah janji). Sebagai instagram husband Amar gigih bangun dalam keadaan mamai. Sempat cerita yang dia makan pulut ayam sebab tak boleh tido. Akhirnya, terabadilah juga gambar saya bertemankan matahari terbit. Panorama pagi dari balik jendela memang indah. Kami merentasi kampung, denai, pepohonan pesona mata memandang.

Khao San Road terkenal sebagai surga backpackers

Sekitar jam 11 kami tiba di Stesen Hua Lamphong iaitu Terminal Utama Bangkok yang masih utuh sejak 1916 lagi dengan memelihara rekaan klasiknya. Siling atapnya yang tinggi membuatkan sesekali kelihatan burung merpati terbang masuk mencuri tumpuan kesibukan manusia yang mahu pergi dan pulang ke destinasi masing-masing. Dari terminal kami menaiki tuk-tuk ke penginapan yang telah ditempah awal oleh Amar melalui Agoda.com. Check in jam 2 petang, kami tinggal barang dan berjalan kaki cari makan. Kami tinggal di Sam Sen Sam, di Samsen Road Wat Sam Phraya, yang merupakan low key hotel berkonsepkan rekaan tradisi Thailand. Harga RM100 semalam. Siap breakfast sekali.
Renn bawa kami makan nasi campur di Jalan Chakrapong, ada lorong menuju ke masjid Chakrapong. Berjalan sekitar 10 minit dari penginapan kami. Di sepanjang lorong itu rupanya terdapat beberapa gerai menjual makanan halal. Set up-nya simple sekali, tetapi makanannya sedap amat dan murah. Kopinya juga aduh, teringat-ingat sampai sekarang. Kemain macam starbuck kopinya dibungkus, harga cuma 20 baht. 2 ringgit saja untuk kopi yang sedap namatey.
Kami kemudian berjalan sehingga ke Khao San Road yang terkenal sebagai sorga backpackers dari seluruh dunia. Di sini berhimpunnya aneka penginapan murah, penginapan kelas menengah, kedai buku, kedai cenderamata, kedai tattoo, tempat masat dan banyak lagi. Feelnya macam kat Bukit Bintang. Kalau malam lebih happening lagi kata Renn. Kemudahan mendapatkan perkhidmatan travel agent juga bersepah di kawasan ini. Ia terletak sekitar 3 km dari Kota Bangkok. Kebetulan saya dan Amar bercadang untuk ke Kanchanaburi, alang-alang kami terus menempah slot dari salah seorang agen yang ramah. Kami ke hotel untuk berehat dan malamnya baru keluar berjalan.

Beratus pasar di Bangkok

Tak merancang, namun ia kebetulan yang indah. Kami ke Bangkok saat Bangkok Art Biennale 2018 sedang berlangsung sehingga februari nanti. Malam pertama di Bangkok kami ke Bangkok Art & Culture Centre (BACC) menaiki tuk tuk. Pengangkutan yang boleh digunakan sekitar Bangkok adalah seperti teksi, tuk tuk, bas dan juga grab. Ikutlah keselesaan masing-masing. Harganya lebih kurang mengikut destinasi. Sepanjang di sana, kami banyak guna teksi dan sesekali grab. Teksi pun ok juga sebab guna meter. So terpulanglah pada keselesaan masing-masing. Cuma berhati-hati kalau naik tuk tuk. Ada kala nasib tak baik, dia tahu yang kita pelancong, maka diletakkan harga mahal. Jadi nasihat Renn, kena faham logik jarak sesuatu destinasi tu.
Bangkok Art Biennale 2018 dengan tema Beyond Bliss mengumpulkan 75 artis (dari Bangkok dan luar negara) melalui pebagai medium dalam mempamerkan karya seni masing-masing. Terdapat 20 lokasi sekitar Bangkok yang terlibat dalam acara ini. Sepanjang trip ini kami sempat menjenguk dua lokasi yang meraikan Bangkok Art Biennale 2018. Dan galeri seni sebegini masuk percuma saja.
BACC terletak di tengah kotaraya yang sibuk. Berhampiran stesen mrt dan dikelilingi kemeriahan mall. Art installation bermula dari pintu luar. Jadi tarikan muda mudi. Ada yang datang dengan berpakaian sekolah. Ia juga jadi tempat karyawan menjual produk seni dan kraf. Dibuka seawal pagi dan tutup jam 9 malam. Bayangkan balai seni kita terletak di tengah-tengah Bukit Bintang, mungkin apresiasi terhadap seni budaya lebih tinggi. Mungkin.

Jangan lupa makan Pad Thai & meehun sup Thailand

Penutupnya kami ke Ratchada Rot Fai Night Market untuk makan malam dan meraikan antara pasar malam yang happening di Bangkok. Ia menjadi tempat berhibur rakyat Bangkok yang penat bekerja siang hari. Juga tempat tarikan pelancong. Meriah sungguh dengan 1001 macam barang dan makanan yang dijual. Amar bisik, ala-ala uptown di KL, tapi versi lebih happening. Barang-barangnya memang menarik dan bikin rambang mata. Di sini, sukar sikit nak cari makanan halal, tapi ada juga peniaga muslim. Kena tenang mencari. Buat pertama kalinya saya mencuba Pad Thai. Amboi sedap sungguh. Amar beli sehelai kemeja bundle retro dan saya dapatlah seketul spek saloma dengan harga RM15.
Thailand pada saya adalah negara 1001 pasar. Di Bangkok saja ada beratus pasar, di darat dan di air. Kewujudan pasar bukan saja atas faktor ekonomi, malah lebih besar ia sudah jadi gaya hidup. Sebagai peminat pasar, saya cuba pergi seberapa banyak pasar yang ada di Bangkok di sela masa dan kesempatan yang ada.
Sebelum pulang Renn bawa kami pekena meehun sup di Jalan Thanon Ram Buttri, pasar malam sekitar penginapan kami sebab saya duk cakap nak makan meehun sup Thailand sejak dari atas tren lagi. Kami share bertiga sebab dah kenyang makan kat night market. Renn beli roti pisang dan Thai Sweet Crepe sebagai dessert.

5 lokasi best di Kanchanaburi

11 Januari 2019. Hari Ke-3 : Bangkok – Kanchanaburi.
Jam 7 pagi kami dah naik van ke Kanchanaburi ditemai pelancong-pelancong lain. Pakej yang kami ambil harganya sekitar RM200 dengan 5 lokasi termasuk makan tengahari. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Tempat-tempat yang kami pergi adalah seperti berikut :
1) Muzium Perang 
2) Jambatan merentasi River Kwai
3) Menaiki keretapi untuk ke Death Railway 
4) Air Terjun Sai Yok Noi 
5) Memorial Perang Dunia ke-2 (Kanchanaburi War Cemetery)
Highlight dari trip ke Kanchanaburi adalah untuk melihat sendiri bagaimana landasan keretapi maut yang sering dibaca dari blog-blog kembara. Death Railway dibina pada tahun 1943 di bawah pemerintahan Jepun. Ribuan tahanan penjara dan buruh asia telah dikerah oleh tentera Jepun untuk membina landasan tersebut yang menghubungkan Thailand – Burma untuk membawa bekalan kepada tentera Jepun.
Pembinaan landasan keretapi ini dibina secara manual menggunakan sepenuhnya tenaga manusia. Landasan keretapi maut ini telah dibina melalui lembah yang dalam serta bukit dan menjadikan ia landasan yang sangat berbahaya. Ribuan tawanan perang telah terkorban semasa membina landasan keretapi maut ini serta telah diseksa dengan kejam oleh tentera Jepun. Saya cuba melihat ke luar jendela tren waktu kami tiba di gaung yang curam. Gayat sekali. Saya sebak dan tidak mampu membayangkan mereka yang telah terkorban demi menyiapkan pembinaan landasan itu.
Kami disajikan makan tengahari, kemudian ke air terjun Sai Yok Noi. Diberi masa lebih kurang sejam setengah. Cantik dan jernih sekali air terjunnya. Lokasi terakhir ialah Kanchanaburi War Cemetery–sebanyak 7,000 kubur yang terdiri daripada tawanan British, Belanda dan Australia yang meninggal semasa pembinaan landasan keretapi ditanam di sini.
Pulang dengan amat keletihan setelah seharian berjalan, saya tak keluar malamnya dan pilih untuk berehat saja. Malam itu Amar tapaukan kebab. Renn pula tak ikut kami ke Kanchanaburi dan pergi menyelam ke festival vintage, ‘Made By Legacy’.

Wajib pergi pasar Chatuchak hujung minggu

12 Januari 2018. Hari ke-4. Bangkok.
Orang kata kalau ke Bangkok tak pergi pasar Chatuchak, maka tak lengkaplah kembaranya. Jadi eloklah datang weekend sebab pasar ini cuma beroperasi sabtu dan ahad dari jam 8 pagi sampai 6 petang. Jumaat buka juga tapi tak semeriah weekend. Chatuchak merupakan pasar terbesar di Thailand, memiliki lebih 8000 kedai yang terbahagi 27 area. Sebagai abang kawasan, Renn siap lukiskan kami peta untuk memudahkan mencari jalan pulang. Ayah Renn cakap, di Pasar Chatuchak ni bapak dengan mak saja yang tak ada. Haha. Sungguhlah, saya dengan Amar rasa takjub walaupun kami cuma pergi ke beberapa area saja. Rasanya suku pun tak sampai. Kawasannya berbumbung, memang berpusu orang, tapi masih selesa untuk berjalan. Cuma penat tak penat sajalah. Tak mustahillah satu dunia datang membeli barang di sini.

Dari makanan jalanan sehingga ke restoran

Sebelum menyelam, kami pergi isi perut dekat kedai Saman Islam. Sangat popular kepada pengunjung muslim. Di sini saya ketemukan meehun sup paling sedap yang pernah dirasa seumur hidup. MashaAllah. Portionnya besar, dagingnya lembut, kuahnya ya ampun enak sekali. Gandingkan pula dengan teh ais thai. Aduh, sampai sekarang terasa-rasa lagi celah tekak. Saya akui yang peniaga Thailand ikhlas dalam menyediakan hidangan. Sepanjang saya ke Hat Yai dan Bangkok, tak pernah lagi saya kecewa dengan air tangan warganya. Dari makanan jalanan sehingga ke restoran, semuanya dibikin dengan kasih sayang.
Saya sempat bersembang dengan seorang kakak muslim yang telah meniaga hampir 20 tahun di pasar Chatuchak, berasal dari Songkla. Beliau dan suami ada 3 kedai di situ menjual kasut bundle. Hanya weekend saja meniaga sudah cukup menampung ekonomi keluarganya. Alhamdulillah beberapa kali keluar dari mulutnya. Koleksi kasut bundlenya semua masih baik, berkualiti dan harganya murah. Buatkan Amar meleleh air liur sampai sebat 2 kasut sekali. Amar bisik, setahun sekali kalau nak shopping untuk barang sendiri, bolehlah kita ke Bangkok. Berbaloi katanya. Saya iyakan saja. Idea tu menarik juga.
Setelah masing-masing mula lenguh kaki, tangan pun dah penuh, kami berjalan ke sebelah pasar Chatuchak. Ada pasar vintage yang diberi nama The Camp Vintage Flea Market. Kata Renn, ia lebih chillex dan tidak terlalu havoc. Dibuka selasa-khamis jam 11 pagi hingga 10 malam, weekend bermula jumaat dari 11 pagi hingga tengah malam. Kami menghabiskan senja di situ bertemankan coke sambil menenangkan kaki.
Malamnya kami pegi masat kaki di sekitar penginapan. Dalam 15 hinggit seorang.

Menikmati sejarah perkembangan Thailand

13 Januari 2019. Hari ke-5. Bangkok.
Renn ke Pasar Chatuchak lagi dengan alasan kasut yang dia beli tersalah size. Padahal tak puas menyelam lagi. Kahkah. Jadi saya dengan Amar buat rancangan lain. Kami makan tengahari bersama sebelum berpisah ke destinasi masing-masing. Cuaca panas sungguh hari tu (oh ya, cuaca di Bangkok memang panas. Menurut Organisasi Meteorologi Dunia, Bangkok adalah salah satu kota terpanas di bumi. Bawalah topi, kasut yang selesa dan minumlah air secukupnya untuk elakkan dehydration). Patut pagi tu nak ke floating market yang ada di sekitar Bangkok, Tapi Amar cadangkan pergi Muzium Siam dulu.
Kami terhibur dan seronok berada di Muzium Siam. Dengan motto play + learn, pengujung dapat menikmati sejarah perkembangan Thailand dari dulu hingga sekarang secara interaktif. Masuk dengan tiket berharga 200 baht. Di sekitarnya ada beberapa kuil bersejarah dan menjadi tumpuan pelancong seperti Wat Pho dan Grand Palace.
Seterusnya kami naik teksi ke pasar terapung Khlong Lad Mayom Floating Market yang berada sekitar 20 km dari Bangkok. Khlong Latmayom Floating Market ni cuma beroperasi di hari Sabtu, Ahad dan hari cuti umum, dari pukul 9.30 pagi hingga 3.00 petang. Ia bukanlah pasar terapung yang popular dan biasa dikunjungi pelancong, cuma perjalanan yang jauh ke pasar terapung itu menyebabkan kami pilih yang dekat saja. Sukar sikit nak cari makanan halal di sini. Kami cuma makan aiskrim kelapa sebab masih kenyang lagi dengan makan tengahari. Tapi sebab saja nak tengok kemeriahan pasar terapung, pergilah juga jalan-jalan. Last time pergi Hat Yai musim hujan, tak dapat nak menikmati sangat. Nantilah repeat Hat Yai lagi demi pasar terapung.
Kami menuju kotaraya Bangkok semula dan janji dengan Renn di Siam Aquare. Sempat singgah ke Scalva Cinema–Panggung wayang historikal yang terletak di jantung kota Bangkok sejak 1969. Mengekalkan seni retro dari rekaan bangunan, dekorasi, kaunter tiket dan kerusi. Ruang menunggu yang selesa, luas dan autentik. Satu-satunya panggung single screen yang masih dipelihara dengan baik. Menayangkan semua jenis filem dengan harga yang murah berbanding panggung yang ada di seluruh Thailand, sekitar 100 bath. Ia memberi pengalaman sinematik sekaligus pembudayaan yang mengesankan. Filem Roma baru saja ditayangkan. Kalau tak mesti kami dah tonton. Mungkin kalau tonton dengan layar lebar lebih sedap. Apa pun saya masih rasa Roma filem terbaik yang ditonton 2018. Kami bersiar sekitar kota yang sibuk, ambil gambar dan kemudian ke One Bangkok untuk melihat pameran sempena Bangkok Art Biennale.
Kami bertemu Renn di pintu masuk antara terminal BTS dan MBK Centre–shopping mall terbesar di Bangkok. Di antara laluan paling sibuk dengan pertemuan sistem pengangkutan yang pelbagai medium. Ada kuil kecil dibina di ruang masuk MBK Centre dan potret Raja Bhumibol Adulyadej yang melatari bangunan Cultural Centre di sebelahnya. Menandai rakyatnya yang religus dan menghargai rajanya.
Kami sempat ke pameran Art Biennale di One Bangkok. Sebuah galeri seni yang intim dan sederhana dengan sebuah lukisan terpamer di sini dari gabungan Jean-Michel Basquiat, Francesco Clemente & Andy Warhol dengan tajuk Amorosi yang berharga jutaan ringgit.
Bagi meraikan malam terakhir di Bangkok, kami makan malam di restoran muslim popular Farida Fatornee. Hidangannya sedap, cuma harganya agak mahal. Mungkin gelaran popular yang dimilikinya.

Budaya masyarakat penuh dengan kemanusiaan

14 Januari 2019. Hari ke-6 (terakhir). Bangkok – Don Mueang International Airport.
Hari terakhir kami sempat berjalan sekitar Khoa San Road, masuk kedai buku dan cenderamata. Makan tengahari dan menuju lapangan terbang. Memang pulang kami rancang naik kapalterbang. Tiket RM300 lebih. Naik Malindo ada 25kg luggage. Kami tak membeli sangat pun. Lebih kepada makan, ambil pakej day trip dan pengangkutan untuk ke sana ke mari. Dan ia bukanlah sejenis full force backpacker trip. Total bajet dari kembara ini sekitar RM1,500 seorang.
Waktu berangkat dari bandara, senja indah terbentang ketika kami terbang di langit. Bangkok happening siang dan malam, dengan faktor usia saya lebih suka sisi Thailand yang lebih tenang dan damai. Namun tetap saya cinta akan sisi budaya masyarakatnya yang masih penuh dengan kemanusiaan. Selalu tersenyum dan murah dengan ucapan Khop Khun Khap (terima kasih) dan saweede krap (hello). Mungkin saya boleh kembali lagi ke Thailand dan melawat tempat pendalaman yang lebih tersembunyi dari hiruk-pikuk kota seperti Chiang Mai, Mae Hong Son dan Pai.
Namun begitulah tujuan kembara, untuk mengenal diri sendiri dengan lebih dalam lagi, sekaligus berusaha menghargai budaya, sejarah dan masyarakat di tempat lain. Dan pulang untuk menjadi lebih baik lagi. Untuk masuk dalam lingkungan dan menabur bakti.
Sebaik-baik tempat orang, manakan sama rumah sendiri.

Post a comment

0 Comments