Jual buah pinggang demi iPhone, lelaki muda ini akhirnya terlantar derita

Jual buah pinggang demi iPhone, lelaki muda ini akhirnya terlantar derita
Xiao Wang bertindak sedemikian tujuh tahun lalu, ketika iPhone 4 baru sahaja dilancarkan. - Gambar hiasan
"Jom, kita jual buah pinggang..."

Itu ayat gurauan yang cukup popular digunakan dalam kalangan kita setiap kali Apple mengeluarkan model iPhone terbaharu.

Ini kerana harga telefon pintar itu yang agak tinggi.

Tetapi bagi lelaki di Hunan, China ini, ayat itu bukan sekadar jenaka bersama kawan-kawan, tetapi ia benar-benar dilakukan.




Laporan portal Oriental Daily menyebut, Xiao Wang, bertindak sedemikian tujuh tahun lalu, ketika iPhone 4 baru sahaja dilancarkan.

Telefon pintar itu bukan sahaja cukup popular di seluruh dunia, malah rakan-rakannya di sekolah juga menggunakan model tersebut.

Enggan dilihat ketinggalan, Xiao Wang membuat keputusan menjual salah satu buah pinggangnya untuk membeli iPhone itu, memandangkan dia datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.




Dia yang ketika itu baru berusia 17 tahun, memilih untuk melakukan prosedur itu di sebuah pusat perubatan di Chenzhou, yang ditemui menerusi pihak ketiga.

Pihak ketiga itu memberi jaminan pembedahan berkenaan tidak berisiko dan Xiao Wang boleh menjalani hidup dengan normal selepas seminggu.

Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya apabila Xiao Wang terkena jangkitan kuman yang disebabkan persekitaran kawasan dan peralatan pembedahan yang digunakan tidak dibersihkan dengan cara yang betul.

Kini Xiao Wang, dalam usia 24 tahun, doktor mengesahkan buah pinggangnya yang sudah rosak teruk dan dia hanya terlantar di atas katil.

Lebih malang, keluarganya terpaksa mengeluarkan wang banyak untuk rawatan haemodialisis.

Dalam kemas kini terbaharu, Xiao Wang dilaporkan berjaya mendapatkan pampasan daripada  pusat perubatan terbabit.

Apapun, wang yang banyak itu tetap tidak mampu mengembalikan kesihatan, yang merupakan nikmat paling bernilai bagi setiap individu.

Post a comment

0 Comments