Sel kanser merebak ke tulang belakang Elyana

PENYANYI dan pelakon, Elyana. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Elyana, memaklumkan sel kanser kelenjar yang dihidapi sejak tujuh tahun lalu sudah merebak ke bahagian tulang belakang hingga menyebabkannya sukar berjalan.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 30, turut mendedahkan dirinya berisiko lumpuh andai tidak membuang sel yang bersarang pada bahagian berkenaan.
“Hari ini (semalam) saya sepatutnya berjumpa doktor. ‘Limfa Node’ ini sudah berada di tulang belakang, tapi saya pun tak perasaan. Jadi kena buat CT scan untuk pengesahan.
“Sebenarnya doktor pun ada tanya, apakah saya berjumpa pakar berkenaan (penyakit) kanser saya atau tidak? Sudah lama pun saya tak jumpa, rindu juga pada dia,” katanya.
Elyana menerusi muat naik beberapa pautan video di Insta Story di Instagram peribadinya, semalam, berkongsi situasi dilaluinya ketika ini dengan 736,000 pengikut.
Walaupun menahan kesakitan, dia tetap tampak positif, malah dalam perkongsian berkenaan dia sempat berseloroh dan berjenaka.
Dalam video lain, ibu kepada seorang cahaya mata berusia lapan tahun itu turut menunjukkan sebatang tongkat yang dihadiahkan kenalannya.
“Bukan Ali saja ada tongkat. Nana (Elyana) pun ada tongkat, Tongkat Nana. Ini hadiah daripada Bee, kawan saya. Senang ada tongkat ini yang banyak membantu saya berjalan,” katanya yang berkongsi keadaan dirinya itu dari katil hospital.
Selepas mengalami kesakitan pada bahagian belakang, akui Elyana, pergerakannya memang terbatas dan menyakitkan.
Menurut ahli keluarga terdekat, Elyana dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya, Selangor, sejak kelmarin berikutan keadaan kesihatannya yang menurun.
“Kami dimaklumkan sel menyerang bahagian atas pinggulnya, iaitu hujung saraf tunjang. Keadaan itu yang membuatkan dia mengalami kesakitan pada bahagian berkenaan.
“Buat masa ini, kami masih menunggu laporan daripada hasil CT scan. Apa pun, doktor menyarankan dia menjalani radioterapi bagi membunuh sel itu dengan segera.
“Memang kalau tidak dibuat segera, dia takkan dapat berjalan. Mungkin proses berkenaan akan dilakukan sama ada petang atau malam ini,” katanya yang enggan dikenali.

Post a Comment

0 Comments