Cubaan curi kereta Ferrari Sultan Johor gagal



Cubaan seorang lelaki untuk melarikan kereta jenis Ferrari milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berjaya dipatahkan kakitangan istana bertugas semalam.

Memetik laporan Malay Mail, suspek berusia 31 tahun itu dikesan menceroboh masuk ke kawasan Istana Bukit Serene melalui pintu pagar East Lodge yang terletak di Jalan Straits View kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.


Ketika kejadian, kakitangan istana berkenaan bertugas bersama seorang lagi anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
Perasan akan kelibat suspek yang mencurigakan masuk ke dalam kereta Ferrari warna biru milik pemimpin nombor satu Johor itu, kakitangan istana terbabit bertindak mencabut kunci kereta berkenaan sebelum suspek kemudian melarikan diri dengan kereta Proton Waja.
Siasatan awal pihak polis menerusi rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) berhasil memberkas suspek yang berasal dari Gelang Patah itu dua jam kemudian.
Hasil ujian saringan air kencing, suspek yang pernah memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu positif Methamphetamine (Syabu).
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Khader Mohd mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Post a Comment

0 Comments