Custom Ads

Trending

Suami isteri maut, janin terkeluar dari kandungan



PASIR MAS: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung sebuah kereta di Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas dekat Lubok Jong, di sini, pagi tadi.
Mohd Ikraam Ab Azit, 22, dan isteri, Nur Syafiqah Jaafar, 22, yang mengandung lima bulan serta dilaporkan pecah perutnya akibat nahas tragik kira-kira jam 6.30 pagi itu, meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Abdullah Mohammad Piah, berkata Nur Syafiqah tercampak kira-kira tujuh meter sehingga janin dalam kandungannya turut terkeluar.
Ketika kejadian, katanya, motosikal ditunggal Mohd Ikraam dalam perjalanan dari arah Pasir Mas menghala Rantau Panjang, manakala Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun pula dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu kereta Myvi cuba memotong kenderaan lain namun gagal sebelum bertembung motosikal jenis Yamaha LC dinaiki pasangan suami isteri berkenaan.
“Akibat pertembungan itu, mangsa wanita tercampak sehingga tujuh meter menyebabkan janin dalam kandungannya terkeluar,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas (HPM), di sini sebentar tadi.
Abdullah berkata, Mohd Ikraam berasal dari Kampung Berangan, Tumpat, manakala isterinya pula berasal dari Jeli.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kemalangan ini sangat tragis dan menyedihkan. Saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan memastikan jarak selamat sebelum memotong kenderaan di hadapan,” katanya.
Jenazah pasangan berkenaan dihantar ke HPM untuk bedah siasat.

No comments